Anda di sini

Selepas 25 tahun, Exists tampil dengan konsert di Sarawak 27 Mei

Advertisement
Ajai (dua kanan) memegang poster konsert Exists Resolusi di Kuching pada sidang media bersama Snowdan (tengah), Abdullah (tiga kanan) dan rakan kumpulannya yang lain termasuk Mamat (tiga kiri). - Gambar  Roystein Emmor
Ajai (dua kanan) memegang poster konsert Exists Resolusi di Kuching pada sidang media bersama Snowdan (tengah), Abdullah (tiga kanan) dan rakan kumpulannya yang lain termasuk Mamat (tiga kiri). - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Veteran rock Malaysia Exists akan membuat persembahan di Sarawak selepas 25 tahun apabila kumpulan itu dijadualkan mengadakan konsert di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini pada Mei depan.

Menurut kumpulan itu, mereka amat teruja untuk membuat kemunculan di Kuching buat kali pertama kerana sepanjang tahun, Kuching dikenali sebagai pusat seni muzik oleh ramai pihak dalam industri muzik Malaysia.

"Kami mendengar banyak festival muzik diadakan di Kuching dan itu menunjukkan bahawa rakyat Sarawak sangat menghargai muzik. Oleh itu, kami teruja kerana berpeluang membuat persembahan di Kuching kali ini," kata Ajai yang merupakan pemain keyboard kumpulan itu.

Dijadual diadakan pada 27 Mei, konsert di Kuching itu akan dikenali sebagai konsert Exists Resolusi yang dijayakan melalui usaha ImagineX dan penaja mereka.

Konsert itu dijangka bermula pada jam 9 malam pada tarikh berkenaan.

Ajai yang bercakap kepada pemberita semasa sidang media pada Selasa berkata, walaupun kumpulan itu hanya akan membuat penampilan pertama mereka di Kuching tahun ini, namun ia bukanlah kali pertama mereka beraksi di Sarawak.

Ini kerana kumpulan itu pernah membuat persembahan di Miri dan Pusa sebelum ini, walaupun persembahan terakhir mereka di Sarawak diadakan 25 tahun lalu di Pusa, sebuah pekan kecil luar bandar yang terletak di bahagian Betong.

"Sebagai ahli Exists, saya mempunyai kenangan indah tampil bersama Exists di Sarawak. Pusa tidak dapat dilupakan bukan sahaja kerana kesukaran yang terpaksa kami lalui untuk ke sana, tetapi ketika beraksi di sana juga.

"Walaupun bermain dengan peralatan terhad yang disediakan oleh penganjur persembahan pada masa itu, saya dapat melihat betapa berdedikasinya ramai peminat kami di sana yang tiada pilihan selain menaiki bot ke tempat persembahan kami, semata-mata untuk melihat kami beraksi," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai persembahan mereka yang akan datang di Kuching, Ajai berkata kumpulan itu sedang merencana persembahan terbaik untuk peminat dan pastinya mahu ia menjadi satu konsert yang tidak akan dilupakan.

Baginya, peluang beraksi bersama ahli asal iaitu Ujang, Musa dan Along termasuk vokalis asal kumpulan itu, Mamat dan bersama dua penyanyi jemputan iaitu Pasha dan Eiz, adalah cara terbaik kumpulan itu untuk berbuat demikian.

Pada pendapatnya, misi utama mereka adalah menawan hati peminat dan pastinya mereka tidak mahu mengecewakan mana-mana peminat mereka.

"Konsert di Sarawak bukan sahaja akan menjadi penanda aras yang baik bukan sahaja untuk kami, malah kepada pemuzik tempatan amnya selepas aktiviti hiburan seperti konsert dihentikan buat sementara waktu berikutan pandemik COVID-19.

"Sudah tentu Exists menjanjikan persembahan terbaik dan deretan lagu yang amat dirindui peminat untuk kami bawa ke Sarawak nanti. Tunggu kedatangan kami dan bersedia untuk menyanyi bersama," kata Ajai.

Tiket konsert Exists Resolusi di Kuching berharga RM95, RM195, RM295 dan RM450 (termasuk 'meet and greet') dan boleh didapati dengan melayari www.tickets2u.com.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan dan Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Unit Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.
 

Advertisement