Anda di sini

Manchester United nantikan kunjungan West Ham

Advertisement
Penjaga gol West Ham Alphonse Areola melompat untuk menangkap bola pada perlawanan Piala  FA pusingan keempat di antara Derby dan West Ham di Stadium Pride Park di Derby, kelmarin. — Gambar AFP
Penjaga gol West Ham Alphonse Areola melompat untuk menangkap bola pada perlawanan Piala FA pusingan keempat di antara Derby dan West Ham di Stadium Pride Park di Derby, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: David Moyes tidak sabar untuk menentang bekas kelabnya Manchester United dalam pusingan kelima Piala FA selepas jaringan Jarrod Bowen dan Michail Antonio mengesahkan kemenangan 2-0 West Ham ke atas pasukan divisyen ketiga Derby semalam.

Bowen memberi pendahuluan kepada West Ham pada awal separuh masa pertama dan Antonio menggandakan pendahuluan sejurus selepas rehat dalam perlawanan pusingan keempat itu.

Pasukan Moyes akan bertandang ke Old Trafford pada akhir Februari, meneruskan usaha mereka untuk mara ke final Piala FA buat kali pertama sejak 2006.

Ia akan menjadi kepulangan terbaru Moyes ke United, yang memecat jurulatih Scotland itu pada 2014 hanya 10 bulan selepas dia menggantikan Alex Ferguson.

“Saya sangat menantikan perlawanan itu. Ia akan menjadi perlawanan yang sangat bagus untuk kami.” kata Moyes.

“Pada masa ini, itulah permainan yang kami perlukan kerana pemain kami mahu bermain di pentas besar.

“Tiada apa-apa yang lebih besar daripada Old Trafford, jadi saya berkata kepada pemain, ‘Ayuh, mari kita pergi dan hadapi dan cabar mereka’.”

Mengelakkan kekalahan memalukan menentang Derby amat penting untuk Moyes, tetapi kelangsungan di Liga Perdana tetap menjadi keutamaannya.

The Hammers kini merosot di tangga ke-16 Liga Perdana, hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

BOWEN
BOWEN

“Ini satu perlawanan yang sukar kerana Derby telah menang 16 kali tanpa kalah. Akhirnya, kami melakukan tugas yang cukup profesional ke atas mereka,” kata Moyes.

Moyes melakukan enam perubahan kesebelasan utama berikutan kemenangan penting West Ham 2-0 ke atas saingan zon penyingkiran Liga Perdana, Everton dalam perlawanan terbaru mereka sembilan hari lalu.

Sungguhpun rombakan pasukan, West Ham terbukti terlalu kuat untuk pasukan Derby.

Hanya 12 bulan yang lalu, Derby nasib bergolak, dengan kelab hampir gulung tikar dan mengalami penyingkiran ke divisyen ketiga buat kali pertama sejak 1986.

Akhirnya diselamatkan pada Julai 2022 apabila peminat Derby, David Clowes membeli kelab itu daripada Mel Morris, pasukan Rams telah digiatkan semula pada musim ini.

Pasukan Paul Warne menduduki tempat keempat dalam Liga Satu dan penyingkiran Piala FA tidak menjejaskan usaha kenaikan divisyen mereka.

Bowen merupakan salah seorang bintang terkenal West Ham yang beraksi walaupun menghadapi musim sukar, dan Moyes mengakui ia berpunca daripada kekecewaan pemain sayap itu yang gagal disenaraikan dalam skuad Piala Dunia England.

Pemain berusia 26 tahun itu akhirnya menunjukkan tanda-tanda untuk kembali ke prestasi terbaiknya selepas menjaringkan gol ketika menentang Everton dan dia sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-10.

Hantaran jauh Antonio berjaya memecah pertahanan Derby dan Tomas Soucek menanduk bola ke arah Bowen, yang dengan tenang merembat masuk dari jarak dekat.

Moyes telah menegaskan bahawa Antonio tidak akan dijual sebelum tarikh akhir perpindahan Selasa selepas dia memberi bayangan bahawa dia mungkin bersedia untuk meninggalkan Stadium London di ambang laporan minat dari Everton.

Dengan kecederaan Gianluca Scamacca dan pemain baharu Danny Ings, Antonio merupakan satu-satunya penyerang senior West Ham yang sihat.

Antonio menewaskan Derby pada minit ke-50 dengan tandukan jarak dekat apabila hantaran lintang Bowen melencong kepadanya selepas melantun daripada Craig Forsyth, pemain Derby.

Kemenangan West Ham dilakar hanya beberapa jam selepas undian peringkat 16 akhir.

Wrexham akan menjadi tuan rumah kepada Tottenham jika pasukan bukan liga itu boleh menewaskan Sheffield United dalam perlawanan ulangan pusingan keempat.

Wrexham divisyen kelima, yang dimiliki oleh pelakon Hollywood Ryan Reynolds dan Rob McElhenney, pada Ahad hampir mendapat kemenangan mengejut menentang Sheffield United sebelum pasukan Kejuaraan itu menyambar keputusan seri 3-3.

Dengan Reynolds menonton di Racecourse Ground, John Egan menjaringkan gol penyamaan lewat untuk United dan pasukan akan bertemu semula di Bramall Lane untuk hak menentang Tottenham.

Manchester City, yang menang 1-0 ke atas pendahulu Liga Perdana, Arsenal pada hari Jumaat, bertandang ke pasukan divisyen dua Bristol City, untuk pertemuan pertama pasukan itu sejak separuh akhir Piala Liga pada 2018.

Brighton akan berkunjung ke pasukan divisyen kedua Stoke divisyen selepas menumbangkan juara bertahan Liverpool dengan kemenangan dramatik 2-1 pada hari Ahad. — AFP 
 

Advertisement