Anda di sini

Lelaki tidak mengaku salah menipu

Advertisement
 

MIRI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan menipu seorang wanita berhubung pembinaan empat kabinet rumah yang tidak wujud.
    
Chai Soon Fatt, 40, dari Shang Garden di sini, telah didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
    
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh menipu Monica Budis, 49, dengan memperdayakan mangsa supaya mempercayainya dapat membina empat kabinet berbeza iaitu kabinet dapur, bar mini, pembahagi ruang dan kabinet mini untuk pakaian dengan kos RM16,900 yang dapat disiapkan dalam tempoh sebulan dan mendorong mangsa supaya membayar 50 peratus daripada jumlah kos kepadanya sebagai deposit.
    
Mangsa telah membayar wang deposit berjumlah RM8,800 menerusi beberapa transaksi dalam talian ke dalam dua akaun milik mangsa antara 3 Julai 2022 sehingga 18 Ogos 2022.
    
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.18 tengah hari, 2 Julai 2022 di sebuah rumah di Canada Hill View, Jalan Padang Kerbau di sini.
    
Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah.
    
Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi membenarkan permohonan itu dan menetapkan 10 Mac depan untuk pengurusan kes.
    
Sementara itu, tertuduh diperintahkan supaya dibebas dengan jaminan tunai RM2,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

  • oleh
  • Advertisement