Anda di sini

Lelaki amang seksual anak saudara dipenjara tiga tahun dan disebat

Advertisement
 

SIBU: Seorang lelaki yang dituduh melakukan amang seksual terhadap anak saudaranya, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Marutin Pagan yang mendengar kes memerintahkan tertuduh, 37, menjalani hukuman penjara itu bermula daripada tarikh dia ditahan iaitu 10 Januari 2023.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling semasa menjalani hukuman penjara dan berada di bawah pemantauan pihak polis selama setahun setelah tamat menjalani hukuman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dituduh melakukan amang seksual terhadap anak saudaranya yang berumur 14 tahun 11 bulan dengan menyentuh payudara mangsa di sebuah bilik rumah di sebuah kampung di sini pada 10 Januari 2023, kira-kira jam 8 pagi.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebatan jika sabit dengan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 10 Januari 2023 kira-kira jam 8 pagi, mangsa sedang berada di bilik ibu saudaranya sebelum tertuduh masuk ke dalam bilik tersebut dan bertanyakan barang milik ibu mangsa.

Tidak lama kemudian, tertuduh berbaring di belakang mangsa lalu menyentuh payudaranya menyebabkan mangsa menjerit.

Tertuduh segera bangun dan sebelum meninggalkan bilik, mengingatkan mangsa agar tidak menceritakan perkara tersebut kepada orang lain.

Mangsa kemudian meninggalkan bilik dan memaklumkan perkara tersebut kepada ayahnya sebelum membuat laporan polis.

Tertuduh kemudian ditahan pihak polis pada hari sama kira-kira jam 9.50 malam di tepi Jalan Masjid.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Rex Heng Yi Min sementara tertuduh tidak diwakili. 
   

  • oleh
  • Advertisement