Anda di sini

Ketamakan kuasa punca kemelut politik Sabah: Maximus

Advertisement
MAXIMUS
MAXIMUS

KOTA KINABALU: Situasi semasa yang berlaku di negeri ini dianggap berpunca dari gangguan politik oleh segelintir ahli politik yang tamakkan kuasa.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili berkata, senario yang berlaku bukannya krisis politik seperti yang diterangkan oleh sesetengah pihak.

"Apa yang kita ada di Sabah adalah gangguan politik oleh 'penyamun politik' yang tamakkan kuasa dari beberapa parti politik di Sabah ini.

"Nasib baik, 'api' dapat dipadamkan dengan cepat untuk memulihkan perpaduan berikutan jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memberikan sokongan penuh semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 10 Januari lepas.

"Pengundian rasmi di DUN juga sebenarnnya tidak perlu kerana melalui kiraan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani sudah memadai," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau menegaskan bahawa pengisytiharan sokongan politik kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bagi menghentikan sebarang percubaan oleh segelintir ahli politik.

Menurutnya, tujuan asal tindakan ahli politik terbabit  adalah untuk menggantikan pemimpin kerajaan negeri dan 'membuang' kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, langkah penyusunan semula dalam pentadbiran kerajaan negeri termasuk penggantian pemimpin politik yang tidak setia adalah sebahagian daripada pentadbiran asal GRS.

"Ia termasuklah pelantikan pemimpin daripada parti politik lain yang menyokong Kerajaan Perpaduan di Sabah yang setia dan berikrar memberi komitmen terhadap kepimpinan kerajaan pimpinan GRS," katanya.

Beliau berkata, selepas penyusunan semula dan pemulihan perpaduan, keamanan politik dan pentadbiran di Sabah terus stabil.
 

Advertisement