Anda di sini

Kabinet Sabah lulus tukar nama dua kementerian

Advertisement
HAJIJI
HAJIJI

KOTA KINABALU: Mesyuarat Kabinet negeri hari ini meluluskan penukaran nama membabitkan dua kementerian.

Kementerian Pertanian dan Perikanan (MAFS) kini dikenali sebagai Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) manakala Kementerian Pembangunan Perindustrian ditukar sebagai Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor ketika mengumumkan perkara itu berkata, Kabinet meluluskan pertukaran nama itu agar objektif, fungsi dan peranan kementerian berkenaan lebih jelas khususnya berkaitan keselamatan makanan dan kepentingan usahawan termasuk usahawan kecil dan sederhana.

Sementara itu katanya, selaras dengan rombakan Kabinet negeri dan penstrukturan semula Kabinet Persekutuan, kerajaan negeri turut memutuskan untuk menyelaraskan bidang kuasa setiap anggota Kabinet negeri kepada kementerian Persekutuan masing-masing di Sabah.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan akan berada di bawah seliaan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan; Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan di bawah seliaan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Kementerian Kerja Raya Persekutuan di bawah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya; manakala, Kementerian Kewangan akan di bawah Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Sementara itu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diletakkan di bawah bidang kuasa Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim; Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan di bawah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan di bawah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Phoong Jin Zhe; dan Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan di bawah Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohd Arifin Mohd Arif menyelia Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Pengajian Tinggi, dan Kementerian Pendidikan manakala, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib akan menjaga Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, serta Kementerian Perpaduan Negara.

Hajiji berkata,  kerajaan negeri turut melantik pengerusi penganjur bagi pelbagai sambutan dan acara perayaan negeri iaitu Mohd Arifin bagi Maulidur Rasul, Tilawah Al-Quran, Maal Hijrah dan Hari Raya Aidilfitri; Jeffrey bagi sambutan Hari Kaamatan; Masidi untuk sambutan Hari Kebangsaan; Christina untuk Hari Malaysia dan Joachim untuk Hari Jadi Rasmi Yang Dipertua Negeri.
 

  • oleh
  • Advertisement