Anda di sini

JHEAINS santuni jemaah Dakwah Tabligh

Advertisement
 Pegawai JHEAINS, PPMD dan wakil jemaah dakwah tabligh Lahad Datu bergambar kenangan dalam majlis tersebut.
KERJASAMA: Pegawai JHEAINS, PPMD dan wakil jemaah dakwah tabligh Lahad Datu bergambar kenangan dalam majlis tersebut.

LAHAD DATU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Lahad Datu mengadakan program ramah mesra bersama jemaah Dakwah dan Tabligh di daerah itu.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu Nordin Nahanak berkata, kerjasama JHEAINS dengan jemaah dakwah tabligh, masjid dan surau perlu dibuat secara sistematik agar wujud keharmonian dalam setiap pergerakan.

“Kita perlu meraikan semua tanpa sebarang pengecualian kerana usaha dakwah perlu bersatu dan kerjasama dari semua pihak termasuk jemaah dakwah tabligh.

“Setiap sistem yang kita guna pakai seperti borang kebenaran iktikaf atau aktiviti dakwah di masjid adalah untuk kebaikan bersama dan mengelak isu berbangkit,” katanya dalam satu majlis, di sini semalam.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (PPMD) Lahad Datu, Sahijuan Sariul pula menyeru agar semua pihak bersatu hati dalam urusan agama termasuk urusan dakwah.

Katanya, jemaah dakwah tabligh dipuji kerana sanggup pergi rumah ke rumah untuk ajak umat datang ke masjid solat berjemaah.

“Usaha ini bukan mudah dan kami pun tidak mampu buat, namun kadang kala timbul isu berbangkit dari pihak pengurusan masjid terutamanya pengunaan fasiliti masjid surau.

“Justeru, perlu ada satu kaedah untuk mengharmonikan suasana ini dan kami telah mencadangkan beberapa cara sebagai jalan penyelesaian,”katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Jemaah Dakwah Tabligh Lahad Datu, M.Mustapa Mearop pula menzahirkan kesyukuran dan gembira kerana program sebegini adalah julung kali diadakan di daerah ini.

Menurutnya, inisiatif dan niat baik pertemuan ini menjadi satu titik tolak dalam mewujudkan kerjasama serta komunikasi yang lebih baik antara pihak jemaah, JHEAINS dan PPMD.

“Ia juga dapat melancarkan pergerakan jemaah dakwah tabligh di daerah ini serta menghidupkan amalan 24 jam masjid seperti mana amalan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu, Imam kariah, Mohammad Yunus Abu dan wakil-wakil dari jemaah dakwah tabligh seluruh daerah Lahad Datu.

  • oleh
  • Advertisement