Anda di sini

ESSCOM tahan 26 PTI dalam operasi bersepadu

Advertisement
 Antara PTI yang berjaya ditahan dalam operasi bersepadu tersebut.
TANGKAP: Antara PTI yang berjaya ditahan dalam operasi bersepadu tersebut.

SANDAKAN: Seramai 26 orang Pendatang Tanpa Izin (PTI) ditahan dalam operasi bersepadu yang diketuai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di sekitar daerah ini.

Komander ESSCOM Deputi Komisioner, Datuk Hamzah Ahmad berkata, Operasi tersebut dijalankan selama tujuh hari bermula 25 hingga 31 Januari baru-bari ini.

Katanya,  operasi tersebut dijalankan bagi menguatkuasakan undang-undang dan mengekang elemen jenayah rentas sempadan khususnya melibatkan kemasukan PTI secara haram di negeri ini.

“Sasaran operasi adalah penempatan PTI yang dipercayai boleh menimbulkan ancaman keselamatan negara, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat khasnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 410 buah rumah/premis di 12 lokasi diperiksa dengan melibatkan sejumlah 772 pemeriksaan fizikal terhadap orang,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 26 PTI ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63, manakala nilai rampasan berjumlah RM16,951 membabitkan kayu tangar bulat dan barang kawalan lain.

“Selain itu, operasi memotong sambungan elektrik secara haram turut dijalankan oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) di sekitar lokasi tersebut,” katanya.

 Barang kawalan yang berjaya dirampas oleh pasukan keselamatan sepanjang operasi dijalankan.
RAMPAS: Barang kawalan yang berjaya dirampas oleh pasukan keselamatan sepanjang operasi dijalankan.

Beliau berkata, seramai 81 pegawai dan anggota pelbagai jabatan dan agensi bersama-sama menjayakan operasi kali ini.

Hamzah berkata, ESSCOM menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat terutama pegawai serta anggota keselamatan dan penguatkuasaan.

“ESSCOM beriltizam akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan kesejahteraan awam.

“Masyarakat diminta supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089863181 atau aplikasi WhatsApp 011-63311072,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement