Anda di sini

Djokovic berharap untuk kembali beraksi dalam masa terdekat

Advertisement
Djokovic berswafoto dengan penyokong beliau di luar Rumah Kerajaan di Melbourne kelmarin, sejurus memenangi acara Terbuka Australia dengan mengalahkan Tsitsipas pada aksi final. — Gambar AFP
Djokovic berswafoto dengan penyokong beliau di luar Rumah Kerajaan di Melbourne kelmarin, sejurus memenangi acara Terbuka Australia dengan mengalahkan Tsitsipas pada aksi final. — Gambar AFP

MELBOURNE:Juara baharu Terbuka Australia, Novak Djokovic kelmarin berkata dia berharap untuk kembali beraksi dalam masa sebulan namun ‘tidak pasti’ berapa cepat kecederaan hamstringnya akan sembuh.

Pemain Serbia itu juga mendedahkan bahawa dia tidak mempunyai masa untuk meraikan kejayaan memenangi kejuaraan Melbourne ke-10 pada hari Ahad.

Kemenangannya 6-3, 7-6 (7/4), 7-6 (7/5) ke atas Stefanos Tsitsipas menyaksikan Djokovic menyamai rekod Rafael Nadal dalam 22 kemenangan kejohanan Grand Slam dan kembali menjadi nombor satu dunia dalam ranking.

Djokovic mengalami masalah hamstring sepanjang pertandingan, namun ia beransur pulih sepanjang Grand Slam.

Ketika pemain berusia 35 tahun itu mengarak Piala Cabaran Norman Brookes di sekitar taman Government House di Melbourne kelmarin untuk sesi media, dia ditanya oleh AFP tentang keadaan kakinya dan bilakah dia boleh bermain semula.

“Saya tidak pasti, saya akan melakukan beberapa pemeriksaan kesihatan dalam beberapa hari akan datang,” jawabnya. “Kemudian saya akan dapat bercakap mengenainya lebih lanjut selepas memahami keadaan.”

Djokovic mengalami kecederaan hamstring sebelum Terbuka Australia, setelah memenangi acara pemanas badan di Adelaide, dan terjejas teruk di Melbourne Park, terutamanya pada pusingan awal.

Pada satu ketika dia tidak berlatih di antara perlawanan.

“Setakat hari ini saya masih mendaftar masuk untuk kejohanan Dubai, iaitu dalam masa sebulan. Saya harap saya akan dapat kembali ke gelanggang dalam masa beberapa minggu lagi”.

“Mari kita lihat, saya akan bercakap dengan pasukan perubatan dan kemudian menentukannya,” tambahnya.

Jurulatih Djokovic, Goran Ivanisevic, berkata kebanyakan pemain tidak akan bermain selepas imbasan pra-kejohanan menunjukkan tahap kecederaan hamstring.

“Tetapi bukan dia -- dia dari angkasa lepas,” kata Ivanisevic kepada pemberita.

“Otaknya berfungsi berbeza. Dia memberikan segala-galanya, 77 terapi sehari. Setiap hari kecederaan kian lebih baik dan lebih baik.”

Djokovic berkata tidak ada masa untuk berpesta untuk menandakan pencapaian terbarunya pada malam Ahad.

Ditanya bagaimana dia meraikan kemenangan itu, dia tersenyum: “Dengan media, dan dengan kawalan doping! — AFP 
 

Advertisement