Anda di sini

Bekas anggota polis tertembak rakan tiada motif membunuh

Advertisement
 

SIBU: Seorang bekas anggota polis yang dituduh menembak mati rakannya pada 2021, dijatuhi hukuman yang agak ringan oleh Mahkamah Tinggi pada Selasa selepas pihak pendakwa raya gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Christopher Chin dalam keputusan ketika menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Mohamad Nur Alif Mazlan berkata, keterangan saksi P17 iaitu pegawai penyiasat kes menegaskan tertuduh tidak mempunyai niat atau motif untuk membunuh mangsa.

"Apa yang kritikal dan saya dapati sebagai fakta adalah seperti berikut.

"Tertuduh tidak mempunyai latihan terlebih dahulu mengenai penggunaan pistol separa automatik Walther P99 semasa menjalani latihan untuk menjadi anggota polis.

"Tertuduh yang baru bertugas setelah tamat menjalani latihan sebagai rekrut, hanya dilatih menggunakan pistol .38 Smith & Wesson yang lebih lama.

"Tertuduh ada meminta daripada gudang senjata untuk .38 Smith & Wesson tetapi tidak ada yang tersedia sebaliknya dia diberikan pistol separa automatik Walther P99 yang lebih moden," ujarnya.

Menurut Chin, tertuduh tidak mempunyai latihan atau latihan praktikal yang mencukupi bagi menggunakan pistol Walther P99. 

"Dia tidak sedar bahawa walaupun kelopak peluru pistol Walther P99 telah dikeluarkan, terdapat kemungkinan peluru hidup dalam ruang laras pistol.

"Si mati telah meminta untuk melihat pistol itu dan difahamkan semua mereka yang tinggal di rumah itu adalah anggota polis baharu serta tidak pernah mengendalikan pistol sedemikian.

"Secara kritikal, disebabkan kekurangan latihan, tertuduh tidak tahu bahawa walaupun selepas dia telah mengeluarkan kelopak peluru dari pistol, masih terdapat peluru dalam laras pistol tersebut," jelasnya.

Berdasarkan perkara di atas, Chin berpuas hati bahawa tertuduh tidak mempunyai pengetahuan bahawa pistol yang berada di tangannya pada malam itu akan melepaskan tembakan jika picunya ditarik. 

"Saya membuat keputusan ini berdasarkan fakta dan juga undang-undang, ditambah dengan penerangan yang dinyatakan dalam Kanun Keseksaan berhubung dengan Seksyen 300(d). 

"Kesimpulannya dan selepas penilaian maksimum fakta dalam kes ini, mahkamah mendapati bahawa kes pembunuhan prima facie yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan belum dibuat terhadap tertuduh, dan dia sewajarnya dilepaskan dan dibebaskan atas pertuduhan terhadapnya. 

"Walau bagaimanapun, saya dapati bahawa tiada sesiapa pun harus mengacukan pistol kepada orang lain, tidak kira sama ada pistol itu dimuatkan (peluru) atau tidak.

"Tindakan daripada kecuaian tertuduh yang tidak wajar dan sangat melulu terutamanya kerana dia mempunyai beberapa latihan dalam pengendalian senjata, justeru mahkamah mendapati bahawa kes prima facie telah dibuat terhadap tertuduh di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian secara cuai," ujarnya.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi, semalam. 

Di samping itu, Chin menyeru supaya pihak polis lebih serius dan segera mempertimbangkan semula protokol dan prosedur operasi standard mereka dalam pengeluaran senjata kepada anggota.

"Tertuduh telah dilatih sebagai seorang rekrut polis yang baharu, hampir beberapa minggu sebelum kejadian dalam penggunaan pistol standard .38 Smith & Wesson, tetapi sebaliknya diberikan dengan pistol separa automatik Walther P99 yang moden. 

"Dengan berbuat demikian, saya mendapati bahawa pihak polis dalam kes ini sama-sama secara tidak langsung telah cuai mengeluarkan kepada tertuduh pistol yang dia tidak diberi latihan untuk mengendalikannya.

"Selanjutnya, apabila pistol itu diberikan kepada tertuduh oleh gudang senjata di Sibu, ia tanpa arahan praktikal yang mencukupi atau tiada.

"Terdapat bukti bahawa ini bukanlah kemalangan yang pertama di Malaysia dan ini amat membimbangkan," jelas beliau.

Berdasarkan pertuduhan sebelum ini, Nur Alif didakwa menyebabkan kematian Norhalim Tumiran, 25, pada 6 Mei 2021, antara jam 5.45 petang dan 6.30 petang di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9.

Mangsa yang berasal dari Pahang ditemui mati dengan kesan tembakan di bahagian atas telinga sebelah kanan.
 
Tertuduh diwakili peguam bela Ranbir S. Sangha sementara pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto.

Sepanjang perbicaraan kes, pihak pendakwa telah memanggil 17 saksi.

  • oleh
  • Advertisement