Anda di sini

Anwar kongsi pengalaman dengan Sir Alex Ferguson

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkongsi pengalaman dengan pengurus legenda pasukan Manchester United, Sir Alex Ferguson, untuk dicontohi persatuan dan badan sukan di negara ini dalam membangunkan bakat individu dalam sukan.

Bercakap pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di sini, semalam, Anwar, yang mengimbau perbualan  dengan Ferguson selepas dipertemukan oleh bekas Naib Presiden, Amerika Syarikat (AS), Al Gore di New York suatu ketika dahulu, berkata antara yang paling diingati adalah bagaimana pengurus tersohor itu menjadikan amalan kasih sayang dan saling menghormati sebagai paksi membentuk sebuah pasukan yang berjaya.

"Bukan mudah untuk kumpul dan satukan pemain daripada pelbagai negara dengan latar belakang sosiobudaya, agama dan cara hidup yang berbeza sebelum datang ke Manchester United.

"Alex Ferguson kata sebagai ketua, kita mesti ada sikap kasih sayang dan hormati perbezaan yang ada dalam kalangan pasukan dan dari situ, barulah dia dapat membentuk hubungan erat sesama pemain biarpun mereka datang dari latar belakang yang pelbagai," katanya.

Majlis berprestij itu di Majlis Sukan Negasra (MSN), Bukit Jalil, di sini, dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, timbalannya, Adam Adli Abd Halim, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria serta kepimpinan persatuan dan badan sukan negara.

Mengulas lanjut, Anwar berkata sikap terbuka Ferguson dalam menjaga hak dan kebajikan pemain wajar dicontohi pengurus dan pentadbir sukan di negara ini dalam pengurusan serta pembangunan atlet masing-masing.

"Once you win their heart you eventually win the game (sebaik sahaja anda menawan hati mereka, akhirnya anda memenangi perlawanan) ," katanya memetik ungkapan Ferguson dan menambah ia juga sesuai dijadikan pegangan oleh mereka yang terlibat dalam pembangunan atlet dan sukan negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kebajikan atlet merupakan antara perkara penting yang dititikberatkan beliau dan mahu semua persatuan atau badan sukan memberi perhatian khusus mengenainya.

Anwar berkata kejayaan dalam bidang sukan tidak mungkin dapat dicapai jika kebajikan atlet diabaikan.

"Sebab itu, saya setuju dengan amaran keras yang diberikan menteri terhadap sebarang keterlanjuran oleh pihak yang diberikan amanah menjaga persatuan dan badan sukan, lebih-lebih lagi dalam kes melibatkan kebajikan anak-anak yang terlibat dalam bidang sukan," katanya. - BERNAMA
 

Advertisement