Anda di sini

124 mangsa banjir dipindahkan ke PPS, kawasan selamat

Advertisement
 Pasukan keselamatan memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat.
PINDAH: Pasukan keselamatan memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat.

KENINGAU: Seramai 124 mangsa banjir berjaya dipindahkan ke kawasan selamat termasuk Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan rumah saudara mara terdekat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata kesemua mangsa banjir mula dipindahkan sejak jam 1 pagi semalam.

“Bertindak dengan panggilan kecemasan, sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau bersama bantuan dari agensi lain termasuk Polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjalankan operasi pemindahan dari Kampung Mempulut di sini.

“Maklumat awal menyatakan seramai 23 mangsa termasuk 14 wanita dan sembilan kanak-kanak terperangkap banjir di kawasan terbabit.

“Usaha mengeluarkan mangsa dilaksanakan menggunakan bot milik JBPM,” katanya.

Beliau berkata keadaan banjir yang semakin teruk menyebabkan mangsa banjir mencecah seramai 112 sehingga awal pagi semalam.

“Operasi pemindahan berakhir pada jam 10 pagi dan kesemua mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Kampung Membulu serta saudara terdekat di kawasan selamat.

“Pihak Bomba bersama agensi keselamatan lain akan menjalankan pemantauan di lokasi terjejas bagi bersedia dengan sebarang operasi pemindahan selepas ini,” katanya.

Sementara itu katanya dalam bencana sama seramai 12 mangsa banjir dari Kampung Terasak turut dipindahkan ke PPS Masjid Nangoh Beluran.

Katanya mangsa terlibat termasuklah tujuh dewasa, empat kanak-kanak dan seorang bayi.

  • oleh
  • Advertisement