Anda di sini

Wanita warga emas maut dilanggar lari

Advertisement
 Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
MAUT: Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

TAWAU: Seorang wanita warga emas maut ketika cuba melintas jalan selepas terbabit kemalangan dengan dua buah motosikal di Batu 3 Jalan Apas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 4.30 petang.

“Mangsa berumur 69 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati seorang penunggang motosikal lelaki berumur 19 tahun dari arah bandar Tawau menghala ke Batu 3, Jalan Apas, menunggang di lorong kanan.  

 “Penunggang motosikal terbabit cuba mengelak mangsa yang sedang melintas jalan lalu hilang kawalan dan terbabas ke bahagian pembahagi jalan di sebelah kanan.

“Apabila penunggang terbabit cuba mengangkat motosikalnya, dia melihat mangsa terbaring berhampiran sebuah motosikal berwarna kuning yang dtunggang oleh seorang wanita,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, penunggang wanita berkenaan meninggalkan motosikalnya dan melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta berwarna putih.

“Pihak polis sedang berusaha mengesan penunggang motosikal tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement