Anda di sini

Suri rumah digalak mencarum dengan SKSSR PERKESO

Advertisement
Nancy menunjukkan risalah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR). – Gambar Muhammad Rais Sanusi
Nancy menunjukkan risalah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR). – Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri menggalakkan golongan suri rumah di Sarawak untuk mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurut beliau, golongan wanita biasanya akan membuat bisnes kecil-kecilan di rumah dan tidak mencarum kepada PERKESO.

Justeru katanya, dengan adanya skim berkenaan, ia berupaya membantu mereka sekiranya terdapat keperluan. 

Beliau menambah, baru-baru ini seorang wanita sebagai penama Nur Athirah Jafar, 22, telah meninggal dunia pada 26 Disember tahun lalu dan meninggalkan suami Mohd Mumin Ardi, 25, dan seorang anak lelaki berusia setahun.

Jelasnya, selepas berita arwah tular di sosial media yang meninggal dunia selepas menyambut ulang tahun pertama kelahiran anaknya yang tunggal, skuad Prihatin PERKESO telah menjalankan semakan dan siasatan.

PERKESO seterusnya mendapati waris arwah layak membuat tuntutan Faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Menerusinya, waris menerima faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 serta pencen bulanan sehingga anak mencapai umur 21 tahun.

“Kes ini menjadi contoh yang baik untuk mereka yang belum mencarum. Selain itu, saya juga berharap ia akan menjadi galakan kepada suri rumah yang tidak mempunyai punca pendapatan tetap ataupun perempuan sama ada berkahwin atau belum, yang menguruskan rumah tangga secara sepenuh masa atau tidak; termasuk isteri, ibu, janda, balu atau ibu tunggal untuk mencarum kepada PERKESO melalui program SKSSR,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kampung Bintawa Hilir di sini, hari ini selepas menyempurnakan Penyerahan Faedah Pencen Penakat kepada waris arwah Nur Athirah Jafar di bawah Skim Keilatan PERKESO. 

Sementara itu, Pengarah PERKESO Sarawak Tan Phang Chia berkata, setakat ini terdapat lebih kurang 40,000 suri rumah yang telah mencarum di bawah SKSSR. 

“Skim ini baru saja bermula pada 1 Disember 2022. Saya sangat menggalakkan suri rumah, wanita yang berkahwin atau belum berkahwin untuk mencarum dengan SKSSR,” jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement