Anda di sini

Siasatan kes bunuh diteruskan, polis kumpul bahan bukti sebelum rujuk TPR

Advertisement
IDRIS
IDRIS

KOTA KINABALU: Siasatan berkenaan kes bunuh di Tawau masih dijalankan dan pihak polis masih menjalankan proses mengumpulkan bahan bukti berkaitan kes ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata siasatan terbabit melibatkan lapan individu termasuk pegawai kanan serta anggota polis dan tiga orang awam yang ditahan untuk membantu siasatan berkenaan kes ini.

“Salah seorang suspek sudah dituduh di Mahkamah Tawau mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini siasatan masih diteruskan, polis sedang mengumpulkan bahan-bahan bukti terhadap suspek yang ditahan dan dalam masa terdekat kita akan merujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi mendapatkan arahan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi bulan Januari di sini semalam.

Idris berkata motif sebenar kejadian dipercayai berpunca angkara cemburu berikutan wanita yang sudah dituduh itu adalah isteri kepada mangsa bunuh dalam kes ini.

Tambahnya kejadian ini juga lebih bersifat peribadi dan tidak berkaitan dengan isu keselamatan.

Katanya orang ramai juga tidak perlu membuat spekulasi berlebihan dan perkara sebenar akan diketahui sebaik siasatan selesai sepenuhnya.

Terdahulu mayat seorang lelaki ditemukan dalam kawasan semak di Tawau selepas dipercayai dibunuh pada 16 Januari lalu.

Turut ditemukan sebuah kereta jenis kompak bersebelahan dengan mayat mangsa.

Susulan kejadian itu, bebarapa anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) termasuk empat pegawai kanan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan.

Pada 30 Januari, seorang wanita berumur 32 tahun dihadapkan di Mahkamah Majistret Tawau bagi pertuduhan membunuh seorang pemandu e-hailing di kawasan ladang sawit di Batu 5, Jalan Apas, Tawau pada 13 Januari lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh bersama beberapa individu yang masih bebas didakwa membunuh Nurman Bakaratu, 61, iaitu seorang pemandu e-hailing antara pukul 7.30 malam hingga 9 malam.

Mengikut kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama dan memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan 6 Mac depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia laporan bedah siasat kes berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement