
KENINGAU: Persatuan Gana Sabah (PGS) menghulurkan sumbangan kewangan hasil sumbangan daripada ahli-ahli persatuan kepada salah seorang ahlinya yang sedang dirawat di hospital daerah dekat sini, yang diserahkan pagi tadi.
Presidennya Ahmad Razalie Selabin memberitahu, sumbangan itu diserahkan kepada Ahli Jawatankuasa 1 (AJK) yang juga merupakan Ketua Biro Kebudayaan Muzik Tradisional PGS, Sanusi @ Lamusik Ampor Kasip daripada Kampung Minansut Bingkor bagi meringankan bebanan kos rawatan isterinya Lina Anggok, 62, yang menghidap masalah kesihatan sejak tahun 2012 dan kini sedang menerima rawatan intensif di hospital.
Ahmad Razalie menyifatkan sumbangan itu merupakan salah satu komitmen dan objektif persatuan (PGS) bagi membantu meringankan bebanan ahli-ahli nya yang memerlukan.
Sementara itu, Timbalan Presiden PGS Guptah Nair yang turut bersama semasa penyampaian sumbangan itu berharap ahli-ahli PGS terus menyokong segala aktiviti yang akan di rancang demi mengukuhkan persatuan agar lebih dinamik dan saling membantu kalangan ahli lain.
Sanusi ketika ditemui mengucapkan berbanyak terima kasih atas sumbangan yang diberikan PGS serta ahli-ahli yang prihatin.
“Sumbangan yang diterima amat kami hargai dan sangat bermakna bagi keluarga kami yang sudah pasti sedikit sebanyak dapat membantu meringankan masalah dan bebanan yang dihadapi.
“Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasa baik dan keprihatinan kalian,” katanya.