Anda di sini

Pejabat ADUN Kukusan tubuh ‘Task Force’ cegah denggi

Advertisement
 Rina menyampaikan ucapan sebelum program tersebut dijalankan.
UCAPAN: Rina menyampaikan ucapan sebelum program tersebut dijalankan.

TAWAU: Berikutan peningkatan kes denggi di daerah ini, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan mengambil langkah drastik menubuhkan satu jawatankuasa kerja bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

ADUN Kukusan Rina Jainal berkata, jawatankuasa yang dikenali sebagai ‘Task Force’ Kukusan Cegah Denggi itu membabitkan pihaknya bersama agensi-agensi kerajaan, persatuan badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat sekitar Kukusan.

“Antaranya, Kementerian Kesihatan Malaysia (Pejabat Kesihatan Daerah Tawau), Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jabatan Perpaduan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kami sebagai 'coordinator' yang akan menghubungkan agensi kerajaan dengan penduduk dan NGO seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Belia Tempur Harapan dan Skuad Wanita Harapan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) berkata demikian ketika mengadakan Gotong Royong Perdana Kukusan Cegah Denggi, di sini baru-baru ini.

Rina berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kes denggi yang dilaporkan berlaku termasuk di mukim Kukusan.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Tawau sehingga 24 Januari lalu, sebanyak 142 kes denggi dilaporkan seluruh Tawau dan Kalabakan membabitkan 16 wabak aktif.

“Daripada 16 wabak aktif ketika itu, 10 daripada wabak terkawal, empat lagi wabak tidak terkawal dan dua kawasan hotspot,” katanya.

Menurutnya, satu daripada kawasan hotspot terletak di kawasan Kukusan iaitu Taman Victoria.

“Beberapa kawasan lain di Kukusan seperti Taman Uni Villa, Jalan Mawar Kampung Jawa, Ambar Park turut dilaporkan berlakunya kes denggi.

“Biarpun kawasan wabak Taman Victoria telah tamat pada 26 Januari lalu, kami mengambil inisiatif menganjurkan program gotong-royong di taman berkenaan,” katanya.

Katanya, program ini akan dilakukan secara berkala membabitkan kawasan-kawasan sekitar Kukusan dalam tempoh tiga bulan sehingga Jun depan.

“Kami berharap agar program seperti ini menjadi ikutan di tempat lain khususnya kawasan hotspot di Tawau dalam usaha membanteras denggi,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement