Anda di sini

Malaysia komited tangani jurang kritikal kecemasan kesihatan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk bekerjasama dengan pihak lain bagi menangani jurang kritikal yang kekal dalam pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan kesihatan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa ketika berucap pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke-152 di Geneva, Switzerland berkata ia termasuk mengukuhkan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) dan potensi pindaan di samping sumbang saran pada mesyuarat Badan Perundingan Antara Kerajaan (INB).

“Malaysia percaya bahawa sasaran pindaan yang dicadangkan akan meningkatkan lagi keselamatan kesihatan global berkenaan dengan prinsip ekuiti, akauntabiliti dan ketelusan serta proses kedaulatan negara anggota.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pencegahan, Kesediaan dan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan (SCHEPPR), Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan ahli-ahli,” katanya.

Teks ucapan beliau disediakan kepada Bernama hari ini.

Menurut laman web rasmi WHO, IHR menyediakan rangka kerja perundangan menyeluruh yang mentakrifkan hak dan kewajipan negara dalam mengendalikan acara kesihatan awam dan kecemasan yang berpotensi merentas sempadan.

Dr Zaliha turut menegaskan betapa seriusnya wabak Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) yang semakin meningkat di semua negara, dan satu daripada ancaman penyakit terbesar di Wilayah Pasifik Barat menyumbang 87 peratus daripada keseluruhan kematian pada 2019.

Mengenai pembedahan global, Dr Zaliha berkata adalah penting bagi negara anggota untuk meneroka penyatuan sumber dari segi aset, latihan kedua-dua pakar bedah dan bukan doktor, ubat-ubatan dan bekalan. 

“Malaysia berbesar hati untuk menganjurkan acara sampingan pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-76 pada Mei depan. Kami mengalu-alukan sokongan rakan-rakan ahli Lembaga Eksekutif dan mengharapkan pandangan inovatif mengenai pengukuhan sistem penjagaan pembedahan,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement