Anda di sini

Malaysia, Indonesia bersama-sama tangkis tohmahan terhadap minyak sawit

Advertisement
 

BANGI: Malaysia akan terus menjalinkan kerjasama dengan Indonesia bagi menangkis tohmahan terhadap minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata Malaysia dan Indonesia akan membincangkan undang-undang yang melarang penjualan minyak sawit dan komoditi lain yang dikaitkan dengan penebangan hutan kecuali pengimport boleh menunjukkan pengeluaran barangan khusus mereka tidak memusnahkan hutan.

“Strategi kerjasama dengan Indonesia untuk menangkis kempen anti minyak sawit dilihat mampu memberikan tekanan kepada EU. Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) juga akan merangka strategi untuk memberi tekanan kepada EU supaya Malaysia dan Indonesia tidak dibuli sewenang-wenangnya.

“Saya amat bersetuju bahawa negara-negara pengeluar minyak sawit perlu bersepakat dalam menangani isu-isu global supaya bantahan terhadap diskriminasi minyak sawit dapat dibuat secara bersepadu, efektif dan mantap,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Tahun 2022, di sini hari ini. 

Fadillah berkata perkara tersebut tidak mudah dilakukan, justeru kementerian dan agensi di bawahnya akan meningkatkan usaha menangkis kempen anti minyak sawit dengan melaporkan fakta yang tepat mengenai kemampanan dan kebaikan minyak sawit.

“Kita perlu menunjukkan fakta bahawa minyak sawit tidak merosakkan alam sekitar sehingga memberi kesan yang negatif kepada manusia dan hidupan liar,” tegasnya.

Industri sawit Malaysia dijangka meneruskan prestasi memberangsangkan pada tahun 2023 disokong oleh permintaan kukuh di samping pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi.

Eksport minyak sawit dijangka meningkat 3.7 peratus kepada 16.30 juta tan metrik pada 2023 daripada 15.72 juta tan metrik pada tahun lepas berikutan permintaan minyak sawit berterusan daripada negara-negara pengimport seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Jepun, Bangladesh dan Mesir.

Selain itu, Fadillah berkata kementerian akan memastikan proses kemasukan pekerja asing berjalan lancar bagi terus mendorong peningkatan pengeluaran MSM pada 2023.

Mengenai Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Tahun 2022, Fadillah berbangga atas pencapaian MPOB kerana menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa atas sumbangan dalam membangunkan industri sawit Malaysia.

Terkini adalah pengiktirafan kepada Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biak-baka (ABBC) di bawah MPOB dipilih sebagai penerima Anugerah Sains Mahathir 2022, anugerah Malaysia bertaraf global.

Anugerah Sains Mahathir adalah anugerah untuk menghargai saintis, institusi atau organisasi antarabangsa sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan inovasi ke arah penyelesaian masalah dalam bidang sains dan teknologi.

Penilaian anugerah tersebut adalah berdasarkan merit.

ABBC memenangi Anugerah dalam kategori Sumber Asli Tropika sebagai pengiktirafan terhadap program penyelidikan berpandangan jauh dalam membangunkan germplasma sawit yang telah menjadi sumber penting dalam memacu nilai sosioekonomi industri sawit di peringkat nasional dan global.

ABBC merupakan penerima ketiga dari Malaysia bagi Anugerah Sains Mahathir dalam sejarah 17 tahunnya. - BERNAMA
 

Advertisement