Anda di sini

Ligue 1 Perancis: Reims ikat PSG 1-1

Advertisement
Neymar (kanan) diasak penyerang Reims Junya Ito (kiri) pada perlawanan Ligue 1 Perancis di antara PSG dan Reims di stadium Parc des Princes di Paris, kelmarin. — Gambar AFP
Neymar (kanan) diasak penyerang Reims Junya Ito (kiri) pada perlawanan Ligue 1 Perancis di antara PSG dan Reims di stadium Parc des Princes di Paris, kelmarin. — Gambar AFP

PARIS: Pemain pinjaman dari kelab Arsenal, Folarin Balogun melakukan larian kemas sebelum menjaringkan gol penyamaan minit ke-90 ketika Reims mengikat pendahulu Ligue 1 Perancis, Paris Saint Germain (PSG) 1-1 pada Ahad.

Ia kelihatan seperti gol Neymar pada awal separuh masa kedua sudah memadai buat PSG membawa pulang tiga mata penuh walaupun pemain gantian PSG, Marco Verratti dibuang padang tidak lama selepas gol itu.

Namun Reims mengikat kedudukan apabila Balogun melakukan larian pada saat akhir sebelum merembat bola ke pintu gol.

Keputusan menyaksikan kelab yang dibimbing jurulatih berusia 30 tahun, Will Still, mengekalkan tempoh tanpa kalah sebanyak 14 perlawanan di antara aksi liga dan pertandingan piala.

Mereka kekal di pertengahan liga tetapi sudah mengikat PSG dua kali musim ini, dengan kekuatan utama ialah keazaman tinggi pemain muda untuk mengekang barisan bintang PSG.

PSG sekarang sudah tercicir mata dalam tiga dari empat perlawanan liga terakhir pada tahun ini dan ketika mereka masih berkelebihan tiga mata di singgahsana liga berbanding pencabar terdekat Lens prestasi mereka membimbangkan menjelang perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich dalam tempoh kurang dua minggu lagi.

Jurulatih PSG, Christophe Galtier menurunkan Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Neymar dalam kesebelasan utama untuk kali pertama sejak berakhir Piala Dunia ketika PSG memasuki padang memakai jersi keempat mereka dengan nama pemain ditulis dalam bahasa Mandarin untuk meraikan Tahun Baharu  Cina.

Apa yang pasti, PSG menggunakan formasi 4-2-4 dengan Carlos Soler menyertai tiga penyerang berbisa dan bermain di sayap kanan.

Namun, mereka merasai ketiadaan Verratti di bahagian tengah dengan pemain dari Itali itu  bermula di bangku simpanan dengan Reims kelihatan lebih berbisa ketika melakukan serangan.

Dia dimasukkan pada masa rehat dan PSG membuka jaringan pada minit ke-51 apabila satu rembatan Messi terkena Achraf Hakimi dan bola melantun ke arah Neymar yang melakukan penyudah kemas untuk gol ke-17nya musim ini.

PSG bagaimanapun kehilangan seorang pemain tidak lama selepas itu apabila pengadil mengarahkan Verratti meninggalkan padang ekoran satu terjahan keras ke atas Junya Ito dalam kotak penalti, dengan pengadil pada awalnya memberikan penalti ekoran kekasaran oleh Marquinhos ke atas Balogun tetapi campur tangan panel video bantuan pengadil (VAR) menyebabkan pengadil terlebih dahulu mengambil tindakan ke atas kekasaran Verratti dan membatalkan penalti.

PSG kemudian melihat tandukan Sergio Ramos terkena palang sebelum satu gol Hakimi tidak dibenarkan kerana ofsaid.

Ketika PSG kelihatan mampu bertahan sehingga ke wisel penamat, dengan tambahan lima minit hampir berakhir, Kamory Doumbia mengumpan bola kepada Balogun sebelum  menjaringkan gol liga ke-11nya pada musim ini. — AFP
 

Advertisement