Anda di sini

Lelaki dituduh edar dadah, 28 Feb sebutan lanjut kes

Advertisement
 

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan lanjut kes seorang lelaki yang dituduh mengedar dadah berbahaya jenis 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA).
    
Manakala tertuduh yang tidak boleh dibebaskan dengan jaminan diperintahkan supaya ditahan lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.
    
Penetapkan tarikh itu dibuat Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman.
    
Dalam permohonannya, Mudzilawati memohon agar ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut memandangkan laporan kimia berhubung barang kes siap.
    
Yusri Abdullah, 26, dari Bukit Peninjau, Bekenu telah didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.
    
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh disebat tidak kurang dari 15 kali, jika sabit kesalahan.
    
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh mengedar dadah berbahaya jenis MDMA seberat 39.80 kilogram.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi yang masih bebas pada jam 5.45 petang, 18 Januari lalu di sebuah unit apartmen di Jalan Bulatan Park di sini.
    
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.
 

  • oleh
  • Advertisement