Anda di sini

KUSKOP peruntuk lebih RM5 juta bantu 12,450 graduan melalui PROTÉGÉ

Advertisement
 Ewon (tengah) merasmikan Program Protege sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri KUSKOP Saraswathy Kandasami (kiri) dan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Datuk Ahmad.
RASMI: Ewon (tengah) merasmikan Program Protege sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri KUSKOP Saraswathy Kandasami (kiri) dan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Datuk Ahmad.



KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan lebih RM5 juta bagi membantu 12,450 graduan melalui program anjuran PROTÉGÉ pada tahun ini.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, KUSKOP juga menyediakan RM30 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dengan sasaran 76,690 graduan dan mahasiswa yang dibantu.

 
Sehubungan itu, katanya PROTÉGÉ telah merangka beberapa inisiatif penting sejajar dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Keusahawanan (Entrepreneurial Nation) menjelang 2030.


“Selain itu, program-program yang dirancang adalah untuk meningkatkan potensi kebolehpasaran dan memupuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan graduan.


“Kemahiran keusahawanan wajar ditindik kepada mahasiswa seawal fasa univerisiti lagi. Justeru,  KUSKOP telah menjalankan kolaborasi strategik bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui beberapa siri program KPT Prihatin.


“KUSKOP juga dalam usaha untuk memperbaharui Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi inisiatif-inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh para peserta dan majikan yang mengambil bahagian dalam program PROTÉGÉ,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Keusahawanan dan Kebolehpasaran portege, KUSKOP 2023, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.


Ewon berkata, kerjasama erat KUSKOP dengan Kementerian dan agensi berkaitan dapat membantu kejayaan agenda nasional.

 
Beliau berkata, Pelan Strategik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tahun 2023 mensasarkan tiga objektif utama iaitu, menyediakan ekosistem yang kondusif bagi menyokong dan memacu pemulihan, pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan negara, mempertingkatkan daya tahan dan daya saing usahawan pasca pandemik dan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan keusahawanan yang fasilitatif dan efektif.


“Bagi merealisasi objektif yang disasarkan, lima teras strategik, 24 strategi dan 185 program atau projek telah dirangka merangkumi penggubalan dasar, tadbir urus dan kawal selia, pembangunan kapasiti, akses pembiayaan, akses pasaran, adaptasi teknologi dan pengukuhan penyampaian perkhidmatan.


“Manakala, sebanyak enam KPI telah ditetapkan dan perlu dicapai di bawah pelaksanaan Pelan Strategik ini,” katanya.


Katanya lagi, pelaksanaan kesemua program atau projek yang dirancang akan memanfaatkan 543,080 individu usahawan dan bakal usahawan.

 
“Saya yakin, pendekatan yang dirangka di bawah halatuju strategik ini akan menzahirkan usahawan yang lebih cekal, berdaya maju, proaktif, kompetitif dan inovatif serta berupaya menampan situasi di luar jangkaan pada masa hadapan” katanya.


Bagi mereka yang ingin menjadi usahawan, pelbagai program telah dirancang sepanjang tahun ini, antaranya Program Latihan Intensif dalam talian bagi Usahawan Generasi baru, Program Penempatan Latihan Kerjaya dan Keusahawanan TVET, Program Kembara Kerjaya dan Program Usahawan Perantis.


Berdasarkan rekod, dari tahun 2021 hingga 2022, seramai 16,022 graduan mendapat manfaat daripada program PROTÉGÉ – RTW.

 
Ewon berkata, KUSKOP telah menyediakan RM1.5 juta untuk membiayai modul Entrepreneurship 101 (ETR 101) yang akan memberi manfaat kepada 5,000 peserta.

 
“ETR 101 merupakan satu daripada tujuh modul wajib dalam Latihan Kemahiran Insaniah dalam program PROTÉGÉ – RTW.  


“Modul ETR 101 bertujuan mempersiapkan para peserta dengan minda keusahawanan serta kemahiran-kemahiran penting yang dapat menyumbang semula kepada organisasi atau syarikat semasa peserta menjalani latihan pekerjaan,” katanya.

 
Oleh itu katanya, KUSKOP mengalu-alukan penyertaan lebih banyak Syarikat Berkaitan Kerajaan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, syarikat swasta dan lain-lain dalam menjayakan agenda penting Kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran terutama dalam kalangan graduan.

  • oleh
  • Advertisement