Anda di sini

Juara bertahan Liverpool tersingkir dari Piala FA

Advertisement
Mitoma (kanan) menjaringkan gol kedua buat pasukannya pada perlawanan Piala FA pusingan keempat di antara  Brighton  dan Liverpool di stadium Amex di Brighton, kelmarin. — Gambar AFP
Mitoma (kanan) menjaringkan gol kedua buat pasukannya pada perlawanan Piala FA pusingan keempat di antara Brighton dan Liverpool di stadium Amex di Brighton, kelmarin. — Gambar AFP

BRIGHTON: Brighton menyingkirkan juara bertahan, Liverpool dari pertandingan Piala FA Inggeris sementara bintang Hollywood yang juga pemilik bersama kelab Wrexham, Ryan Reynolds, melihat kelab amaturnya dinafikan satu kemenangan dramatik apabila diikat minit akhir oleh Sheffield United pada Ahad.

Kawalan dan penyudah cantik Kaoru Mitoma pada minit kecederaan memastikan Brighton mengejutkan Liverpool 2-1 untuk satu lagi berita buruk buat Liverpool, di mana musim mereka semakin terjejas selepas hampir memenangi empat kejuaraan musim lepas.

Liverpool membuka jaringan menerusi gol Harvey Elliott di Stadium Amex tetapi sekarang mereka hanya menang sekali dari enam perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

Lewis Dunk mengikat kedudukan buat Brighton sebelum rehat dan mengesahkan tempat ke pusingan kelima menerusi gol  cantik Mitoma.

Pemain sayap antarabangsa Jepun itu mengawal kemas hantaran Pervis Estupinan, melambung bola melepasi pertahanan Liverpool, Joe Gomez sebelum merembat menewaskan penjaga gol Alisson Becker pada  minit ke-92.

“Dia seorang pemain hebat yang saya fikir boleh melangkah satu lagi langkah ke tahap lebih tinggi,” kata pengurus Brighton, Roberto De Zerbi. “Saya berasa gembira dengan golnya.”

Liverpool ketika ini berada di tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris, 21 mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.

Penyingkiran di pusingan keempat Piala FA Inggeris menyebabkan kelayakan ke Liga Juara-Juara menjadi satu-satu sasaran utama mereka pada musim ini.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menggambarkan kemenangan 3-0 Brighton dalam liga pada pertemuan awal bulan ini sebagai “aksi ngeri”.

Dan dia bagaimanapun berasa sedikit tenang dari aksi pasukannya pada Ahad walaupun keputusan akhir tetap mengecewakan.

“Say tidak terlalu gembira tentang prestasi pasukan tetapi sekali lagi, apa yang telah berlaku ialah kami tewas kepada pasukan yang sangat bagus, yang mudah menewaskan kami dua minggu lepas,” kata Klopp. “Hari ini kami bermain lebih bagus.

“Kami sememangnya dalam satu situasi di mana kami sentiasa mahu melakukan langkah terakhir. Kerana itu kenapa kami berasa kecewa.”

Brighton beraksi tanpa Moises Caicedo selepas pemain antarabangsa Ecuador itu memuat naik status dalam media sosial pada Jumaat lalu untuk cuba memaksa perpindahan ke Arsenal.

Brighton sudah kehilangan Leandro Trossard, yang menjaringkan hatrik ketika menewaskan Liverpool pada awal musim, yang berpindah ke Arsenal bulan ini.

Tetapi mereka yang tidak diturunkan kelihatan tidak dirasai apabila Liverpool bernasib baik tidak bolos  dalam banyak cubaan pasukan tuan rumah pada separuh masa kedua.

Ibrahima Konate dan Fabinho juga bernasib baik tidak dilayangkan kad merah ekoran masing-masing kekasaran ke atas Alexis Mac Allister dan Evan Ferguson.

Asakan Brighton akhirnya membuahkan hasil apabila Mitoma menjaringkan gol keempatnya dari enam perlawanan.

Wrexham adalah kelab amatur terakhir yang masih bersaing dalam pertandingan ini dan pengembaraan mereka masih belum berakhir pada Ahad apabila John Egan menjadikan kedudukan 3-3 pada minit akhir  untuk Sheffield United, yang  beraksi dengan 10 pemain, memaksa perlawanan ulangan.

Wrexham bermula hambar apabila Oii McBurnie meletakkan Sheffield di hadapan seawal minit pertama permainan.

Skuad kendalian Paul Heckingbottom dijangka akan kembali ke Liga Perdana musim hadapan tetapi mereka dikejutkan dengan suasana bersemangat di Racecourse Ground.

James Jones dan Thomas O’Connor meletakkan Wrexham di hadapan dalam tempoh 11 minit pada awal separuh masa kedua.

Oliver Norwood bagaimanapun mengikat kedudukan 2-2 tidak lama selepas itu namun rentak kembali kepada Wrexham apabila pemain Sheffield, Daniel Jebbison dibuang padang ketika berbaki 20 minit permainan.

Paul Mullin kelihatan memberikan satu lagi kejutan besar buat Wrexham apabila menjaringkan gol ketiga empat minit sebelum tamat permainan tetapi Egan mengikat kedudukan pada minit kecederaan.

“Mustahil adalah warna kegemaran Wrexham AFC,” ciap Reynolds, yang membeli kelab pada 2020 bersama-sama rakan artis, Rob McElhenney. “Ini adalah salah satu perkara paling menarik yang pernah saya lihat.

“Terima kasih kepada anda semua dan setiap penyokong Wrexham yang hadir dan memberikan sokongan anda malam ini.”

Pada perlawanan lain, Stoke City meneruskan kemaraan selepas menewaskan Stevenage 3-1. — AFP
 

Advertisement