Anda di sini

Bekas anggota polis sebabkan kematian rakan setugas dipenjara dan didenda

Advertisement
Tertuduh diiringi keluar selepas hukuman dijatuhkan.
Tertuduh diiringi keluar selepas hukuman dijatuhkan.

SIBU: Seorang bekas anggota polis yang menyebabkan kematian rakan setugas pada Mei 2021 dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 serta enam bulan penjara jika ingkar oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan.

Mohamad Nur Alif Mazlan, 30, mengaku bersalah terhadap Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh pada asalnya dituduh membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Christopher Chin mengarahkan hukuman itu dimulakan dari tarikh tangkap.

Tertuduh telah membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menyebabkan kematian Norhalim Tumiran, 25, pada 6 Mei 2021 antara jam 5.45 petang hingga 6.30 petang di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9.

Mangsa ditemui mati dengan kesan tembakan pada bahagian atas telinga kanan.

Norhalim yang berasal dari Pahang merupakan rekrut baharu yang baru dipindahkan ke Unit Rondaan Bermotosikal Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti selama kira-kira sebulan ketika kejadian.

Tertuduh diwakili peguam bela Ranbir S. Sangha manakala pendakwaan kes oleh Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto.

Sepanjang perbicaraan, seramai 17 saksi pendakwa telah dipanggil.
 

  • oleh
  • Advertisement