Anda di sini

Abdul Karim yakin kepimpinan baharu FAS akan martabat bola sepak Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menaruh harapan tinggi untuk melihat sebarang isu dihadapi Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sebelum ini tidak berulang dengan pemilihan Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman sebagai presiden baharu FAS.

"Tahniah kepada Abang Zulkarnain kerana telah dipilih sebagai presiden FAS yang baharu semasa AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) FAS baru-baru ini, bermakna FAS kini ada pucuk kepimpinan baharu mentadbir FAS dengan presiden baharunya, Abang Zulkarnain.

"Sudah tentu harapan kita, Abang Zulkarnain, orang yang diterima ‘affiliate’ (ahli gabungan) dalam FAS di peringkat bahagian, akan dapat menerajui, seterusnya membawa sukan bola sepak kita ke peringkat yang lebih tinggi, lebih baik.

"Tiada lagi masalah-masalah yang kita dengar (seperti sebelum ini). Masalah gaji (pemain) tidak dibayar, masalah ini, masalah itu," katanya dalam temu bual pada Isnin.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan percaya sebagai presiden baharu, mereka yang menawar diri menerajui atau memimpin FAS, sudah mempunyai perancangan untuk mengubah haluan dan membawa FAS ke peringkat lebih tinggi lagi.

"Kita tidak mahulah mendengar selepas sebulan dua nanti, berbunyi isu tidak ada duit, tiada itu dan ini, masalah ini, masalah itu.

"Sebelum menawar diri, perkara-perkara seperti itu, pastinya sudah dilihat... Kita mahukan pemimpin yang dapat memimpin sepanjang masa sehingga AGM seterusnya diadakan.

"Jangan setengah jalan sahaja nanti, bagi tahu ‘bukan saya yang mahu (tetapi) ‘affiliates’ yang mahu saya menjadi presiden, mahu saya menjadi timbalan presiden, kalau berdepan masalah dan tidak dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, kemudian mahu melepaskan jawatan dan sebagainya,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap seperti itu tidak akan berlaku kerana semua mahu melihat sukan bola sepak di Sarawak meningkat naik dan nama Sarawak harum dalam dunia bola sepak.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan FAS baru-baru ini Abang Zulkarnain yang merupakan bekas Penolong Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dipilih sebagai Presiden FAS yang baharu bagi penggal 2023-2025.

Abang Zulkarnain yang merupakan tokoh berpengalaman luas dalam bidang sukan menggantikan penyandang terdahulu, Datuk Posa Majais.

Dalam pemilihan jawatan tersebut, beliau merupakan calon tunggal menang tanpa bertanding selepas mendapat sokongan majoriti 12 ahli gabungan pada AGM itu yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di bandar Sarikei pada Sabtu.

Sementara itu, jawatan Timbalan Presiden FAS milik Abang Suhordie Abang Zaini.
 

  • oleh
  • Advertisement