Anda di sini

Wanita miliki wang secara tidak sah dalam akaun dikena bon berkelakuan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang wanita dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini akibat memiliki RM200 secara tidak sah di dalam akaun bank miliknya pada 2021.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Lee Xiang Chen, 32, dari Pulau Pinang selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958.
  
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan dan denda maksimum RM500.

Lee diarah berkelakuan baik setahun bagi kedua-dua pertuduhan ke atasnya dengan jaminan bon RM200 berserta seorang penjamin.
    
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, tertuduh semasa berada di sebuah bank di Jalan Sekama di sini pada 18 Mei 2021, sekitar jam 8.36 hingga 8.46 malam, didakwa memiliki wang RM200 yang diperoleh secara tidak sah, selain gagal menjelaskan bagaimana dia memperoleh wang tersebut.

Menurut keterangan kes, pemilik wang tersebut (pengadu) melayari aplikasi pelaburan mata wang asing sekitar jam 4 pagi, pada 14 Jun 2021. 

Pengadu kemudiannya berasa dirinya ditipu setelah mendapati aplikasi tersebut tiba-tiba dimatikan. 
        
Selain itu, pengadu cuba menghubungi ahli-ahli lain dalam aplikasi itu namun mereka memaklumkan pengadu bahawa aplikasi berkenaan disyaki didalangi oleh ‘scammer’. 

Laporan polis dibuat yang kemudiannya membawa kepada penangkapan tertuduh.

Hasil siasatan mendapati wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun bank tertuduh.

Tertuduh juga didapati telah memberikan kad ATMnya kepada seorang lelaki bernama Alex selepas dijanjikan wang. 

Bagaimanapun sehingga kini, tertuduh tidak menerima sebarang wang daripada Alex. 
            
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement