Anda di sini

Wanita Indonesia terlibat perjudian dipenjara lima bulan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang wanita dari Selakau, Indonesia dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian.

Majistret Siti Farah Ibrahim memerintahkan hukuman penjara bagi Anju Lestari, 31, dikuatkuasakan mulai tarikh tangkap pada 17 Januari lalu.

Tertuduh didakwa dan disabitkan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 untuk setiap mesin judi dan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum lima tahun.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Lorong Liu Shan Bang, Kota Sentosa di sini pada 17 Januari lalu, sekitar jam 8.20 malam. 

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh ditahan oleh sepasukan polis yang melaksanakan Ops Limau di premis tersebut susulan disyaki terdapat kegiatan judi dalam talian.

Beberapa telefon bimbit, lapan unit kayu ria (joystick), seunit modem wifi dan wang tunai RM240 antara barangan yang dirampas dalam serbuan berkenaan.

Hasil analisis yang dijalankan pakar judi juga mendapati barang kes merupakan mesin perjudian seperti dinyatakan dalam Seksyen 2 ARJT 1953.

Selain itu, tertuduh semasa serbuan juga gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah semasa diminta oleh pihak polis.

Semakan pangkalan data imigresen juga mendapati tertuduh tidak mempunyai dokumen atau pasport sah seperti dalam butiran cetakan rekod Sistem Kawalan Imigresen yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Negeri Sarawak.

Tertuduh juga didapati terus tinggal dan berada di negeri ini secara tidak sah.

Untuk kesalahan itu pula, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun dan boleh disebat minimum enam sebatan jika sabit kesalahan.

Anju mengaku bersalah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen semalam dan Hakim Afidah Abdul Rahman memerintahkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat bulan, juga berkuat kuasa daripada tarikh dia ditangkap.

Pendakwaan kes dilakukan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff dan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement