Anda di sini

Wanita dituduh terlibat kes bunuh pemandu e-hailing

Advertisement
 Tertuduh (dua kanan) diiring keluar selepas prosiding mahkamah dijalankan.
MAHKAMAH: Tertuduh (dua kanan) diiring keluar selepas prosiding mahkamah dijalankan.

TAWAU: Seorang wanita tempatan dihadapkan di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki 13 Januari lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh berumur 32 tahun didakwa bersama beberapa individu lain yang masih bebas telah membunuh Nurman Bakaratu, 62, di ladang sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, antara 7.30 malam hingga 9 malam pada 13 Januari 2023.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dihadapkan Majistret Dzul Elmi Yunus.

Dzul Elmi kemudian mengarahkan kes sebutan semula dijalankan pada 6 Mac 2023 sementara menunggu laporan kimia, forensik dan notis rekuisisi. Tertuduh juga tidak ditawarkan jaminan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Mohd Syahnidzam Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat seorang lelaki yang juga pemandu e-hailing di sebuah ladang sawit di Batu 5, Jalan Apas pada 16 Januari.

Sehubungan itu, beberapa tangkapan telah dibuat termasuk lapan pegawai dan anggota polis bagi membantu siasatan.

Kes ini turut menarik perhatian orang awam apabila seorang daripada suspek ditahan merupakan pegawai polis kanan berpangkat Senior Asisten Komisioner.

  • oleh
  • Advertisement