Anda di sini

UMNO putuskan ambil tempoh bertenang, selesai kemelut politik Sabah 

Advertisement
 Ahmad Zahid (duduk tengah) pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Perhubungan UMNO Sabah. Turut kelihatan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (duduk dua kiri).
MESYUARAT: Ahmad Zahid (duduk tengah) pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Perhubungan UMNO Sabah. Turut kelihatan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (duduk dua kiri).

KOTA KINABALU: UMNO memutuskan untuk mengambil tempoh bertenang dalam menangani polemik atau kemelut politik yang berlaku di Sabah ketika ini.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam tempoh berkenaan, UMNO akan mengambil banyak pendekatan  dan menyusun atur kaedah bagi mencari penyelesaian isu yang timbul.

Bagaimanapun pihaknya turut memahami setiap penyelesaian isu memerlukan persefahaman dua hala membabitkan pihak Barisan Nasional (BN) dan UMNO dengan rakan-rakan parti politik yang lain.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN ini berkata, pendekatan yang diambil tentunya memberi keutamaan kepada agenda rakyat Sabah dan juga memberikan pencerahan terhadap kekeliruan yang ada.

"Saya yakin bahawa keberadaan (di Sabah) saya ini adalah satu 'signal' (petanda) bahawa kepimpinan parti di peringkat Pusat tidak pernah mengambil ringan terhadap perkara yang sedang berlaku di Sabah.

"Saya mengambil inisiatif sendiri untuk menangani  isu ini dan apa yang akan saya lakukan seterusnya, itu akan diketahui dalam tempoh terdekat supaya penyelesaian secara tuntas dapat dicapai oleh kedua-dua pihak," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Perhubungan UMNO Sabah di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memohon supaya tidak ada sebarang interpretasi atau spekulasi mahupun sebarang kenyataan bercanggah sama ada daripada pihak UMNO atau pihak lain.

Menurutnya, langkah itu adalah bagi mencari titik persefahaman dalam kalangan ahli UMNO selain menyantuni titik perbezaan dalam kalangan parti kerana semua pihak tentunya mahu jalan penyelesaian yang terbaik.

"Saya yakin dengan keikhlasan dan kejujuran sesama kita menjadi garis utama. Justeru, dalam keadaan itu, jika semua pihak mahu mencari penyelesaian terbaik kita boleh duduk secara tertutup dan mencari penyelesaian terbaik dalam apa situasi sekalipun dan itu boleh dilakukan dengan tuntas," jelasnya.

Sementara itu, mengenai tindakan terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah yang menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ahmad Zahid menjelaskan, isu berkenaan akan diselesaikan secara berasingan.

"Perkara ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat sebentar tadi dan saya rasa penyelesaian secara damai perlu dicari dan akan diputuskan nanti.

"Kaedah penyelesaian, kita ada Lembaga Disiplin UMNO, jadi isu yang dibawa mesti dilakukan oleh Lembaga Disiplin dan diserahkan kepada majlis tertinggi untuk lakukan keputusan," katanya.

Beliau berkata, parti juga tidak mempunyai sebarang dilema untuk mengambil tindakan kerana isu berkenaan sangat jelas.

Namun jelasnya, sebarang tindakan yang diambil perlu dilihat sebagai adil dan parti juga perlu dilihat memberikan keadilan kepada semua ahli.

Setakat ini katanya, pandangan semua pihak sudah diambil maklum dan pihaknya menghargai perbezaan dalam memberi pandangan dan perlunya penyelesaian secara damai.

  • oleh
  • Advertisement