Anda di sini

Remaja miliki 8.83 gram nospan didenda RM1,000 

Advertisement
Remaja tersebut (kiri) diiring polis selesai keluar dari kamar Mahkamah Sesyen di Kuching hari ini.
Remaja tersebut (kiri) diiring polis selesai keluar dari kamar Mahkamah Sesyen di Kuching hari ini.

KUCHING: Gara-gara memiliki 8.83 gram nospan, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap remaja dari Kampung Buntal tersebut, selepas dia mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 9(3) Akta Racun 1952.

Seksyen yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 29 September 2022, sekitar jam 3.30 petang di tepi Jalan Merbau, Pending di sini.

Mengikut keterangan kes, tertuduh ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di jalan tersebut berikutan dia disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah berbahaya. 

Pemeriksaan fizikal dilakukan terhadap beg silang tertuduh seterusnya membawa kepada penemuan lima peket plastik lutsinar di dalamnya masing-masing mengandungi 12 biji pil warna putih berpalang disyaki pil nospan (jumlah keseluruhan 60 biji).

Barang rampasan kes dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan Laporan Kimia bertarikh 26 Oktober 2022 mengesahkan ia mengandungi 8.83 gram dextromethorphan ataupun lebih dikenali sebagai nospan.

Dextromethorphan merupakan antara yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement