Anda di sini

Man United mara ke pusingan kelima

Advertisement
Pemain tengah Reading  Tom Ince (tengah) bersaing mendapatkan bola dengan pemain pertahanan Manchester United Victor Lindelof (kiri) dan Casemiro pada perlawanan Piala FA pusingan keempat di antara Manchester United dan Reading di Old Trafford di Manchester, kelmarin. — Gambar AFP
Pemain tengah Reading Tom Ince (tengah) bersaing mendapatkan bola dengan pemain pertahanan Manchester United Victor Lindelof (kiri) dan Casemiro pada perlawanan Piala FA pusingan keempat di antara Manchester United dan Reading di Old Trafford di Manchester, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Casemiro menjaringkan dua gol ketika Manchester United menewaskan pasukan 10 pemain Reading 3-1 dan mara ke pusingan kelima Piala FA semalam, sementara penyerang Tottenham Son Heung-min menamatkan kemarau gol.

Pada hari yang tidak mempamerkan kejutan besar, kemenangan diperolehi oleh pasukan corot Liga Perdana, Leeds, Leicester dan Southampton tetapi Fulham terikat oleh kelab Kejuaraan, Sunderland.

United yang menduduki tangga keempat Liga Perdana dan mendekati perlawanan akhir Piala Liga – memberi bukti bahawa mereka kembali ke landasan di bawah kendalian pengurus baharu, Erik ten Hag.

Pasukan tuan rumah mendahului di Old Trafford pada minit ke-54 apabila Anthony menghasilkan hantaran yang memecahkan pertahanan untuk menemui rakan sepasukan Brazil, Casemiro, yang menyepak bola ke atas penjaga gol Joe Lumley.

Empat minit kemudian United mendapat gol kedua, apabila Casemiro merembat masuk dengan serangan menakjubkan dari luar kotak.

Dengan pasukan tuan rumah penuh keyakinan, pemain gantian Fred menghasilkan gol berani dari hantaran rendah Bruno Fernandes menyelamatkan permainan.

Pada masa itu Reading dikurangkan 10 pemain selepas Andy Carroll dibuang padang untuk kad kuning kedua tetapi pasukan Paul Ince masih berjaya menjaringkan gol saguhati.

Kapten Manchester United, Harry Maguire menyifatkan bekas bintang Real Madrid, Casemiro sebagai ‘pemain luar biasa’.

Sementara itu, Harry Kane ditinggalkan di bangku simpanan untuk perlawanan Spurs di Preston, bermakna dia terlepas peluang untuk memecahkan rekod yang dikongsinya dengan Jimmy Greaves dan menjadi penjaring gol terbanyak Tottenham.

Dengan ketiadaan kapten England itu, Son melangkah dengan dua kemasan halus untuk meningkatkan keyakinannya.

Pemain Korea Selatan itu, yang memenangi But Emas Liga Perdana musim lalu, telah menjaringkan gol sekali sahaja dalam 17 penampilan sebelum ini untuk kelab dan negara.

Namun pemain berusia 30 tahun itu berjaya menghidupkan suasana pusingan keempat selepas separuh masa pertama kurang memberangsangkan dengan rembatan kencang kaki kirinya dan dia berjaya menamatkan saingan 21 minit dari masa penamat dengan sepakan melepasi Freddie Woodman.

Arnaut Danjuma kemudian menandakan penampilan sulungnya untuk Tottenham dengan gol menerusi lorongan Dejan Kulusevski untuk menjadikan skor 3-0.

“Saya memerlukan gol itu untuk keyakinan saya,” kata Son.

“Ia sangat penting. Ia kedudukan di mana saya suka menjaringkan. Pada separuh masa pertama saya mempunyai beberapa peluang tetapi penjaga gol membuat penyelamatan yang baik.

“Sebagai penyerang, yang penting ialah anda mendapat gol. Penting untuk saya membantu pasukan pergi ke pusingan seterusnya. Saya sangat, sangat gembira.

Dalam perlawanan lain, Leeds menempah tempat mereka di pusingan kelima buat kali pertama sejak 2016 dengan menewaskan Accrington Stanley 3-1.

Serangan jarak jauh Jack Harrison meredakan kegelisahan pasukan pelawat yang menentang pasukan Liga Satu.

Hantaran lintang Patrick Bamford menemui Junior Firpo untuk menggandakan kedudukan pelawat pada minit ke-66 dan Luis Sinisterra menyudahkan hantaran lintang Harrison.

Leicester pula terpaksa bermandi peluh di Walsall, dibantu oleh pakar Piala FA, Kelechi Iheanacho dalam kemenangan 1-0.

Pemain Nigeria itu telah menjaringkan lebih banyak gol dalam pertandingan itu daripada mana-mana pemain lain sejak membuat penampilan sulungnya pada 2016.

Seterusnya, Romain Perraud menjaringkan dua gol ketika Southampton mara 2-1.

Fulham merupakan satu-satunya pasukan Liga Perdana yang gagal meraih kemenangan pada Sabtu selepas mereka terikat 1-1 oleh Sunderland di Craven Cottage. — AFP 
 

Advertisement