Anda di sini

Kes wanita dituduh salah guna dadah disebut lanjut 6 Februari

Advertisement
 

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 6 Februari depan untuk sebutan lanjut kes seorang wanita yang menghadapi dua tuduhan menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.
    
Pada masa sama, mahkamah turut mengeluarkan perintah mengemukakan (OTP) bagi membolehkan tertuduh yang kini ditahan lanjut di Penjara Pusat Lambir untuk dibawa ke mahkamah pada tarikh tersebut nanti.
    
Agnes Ulak, 39, dari Sungai Sebirah, Julau telah didakwa atas dua tuduhan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.
    
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.
    
Berdasarkan kes pertama, tertuduh telah dituduh menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.30 petang, 8 April 2021 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.
    
Manakala dalam kes kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa dengan menggunakan dadah jenis sama pada jam 3.30 petang, 22 November 2022 di pejabat BSJND Miri.
    
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman di hadapan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi.

  • oleh
  • Advertisement