Anda di sini

Jeti kampung roboh, 25 murid terlibat dua cedera ringan 

Advertisement
 Kebanyakan murid yang terjatuh ke laut diberi bantuan segera oleh penduduk di lokasi kejadian. Gambar tangkap layar video netizen
JATUH: Kebanyakan murid yang terjatuh ke laut diberi bantuan segera oleh penduduk di lokasi kejadian. Gambar tangkap layar video netizen

SEMPORNA: Seramai 25 murid sekolah terlibat termasuk dua orang yang mengalami kecederaan ringan dalam kejadian jeti kampung roboh di Kampung Pababag di sini hari ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Abidin Marjan berkata, seramai 20 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag dan lima murid tadika Kemas terlibat dalam kejadian itu.

Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.45 pagi ketika murid sedang menaiki jeti kampung berkenaan untuk sampai ke sekolah.

"Dua murid yang mengalami kecederaan ringan membabitkan luka pada bibir dan tangan akibat terkena kayu dan simen jeti yang roboh.

"Selepas menilai tahap kecederaan kedua-dua murid berkenaan, mereka dibenarkan balik ke rumah untuk ditenangkan oleh ibu bapa masing-masing," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, dua guru SK Pababag bertindak terjun ke laut bagi membantu menyelamat mangsa yang terjatuh.

Selain itu katanya, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pababag turut memberikan bantuan kepada mangsa.

Menurutnya, kesemua mangsa terutama murid yang terlibat diberikan pemeriksaan dan dibenarkan pulang selepas kejadian itu.

Katanya, tidak ada kecederaan berat dilaporkan membabitkan kesemua mangsa dan jeti berkenaan adalah jeti masyarakat kampung.

Video rakaman kejadian jeti roboh itu turut tular di media sosial selepas ramai dalam kalangan netizen terutama saksi kejadian memuat naik video dan gambar di laman Facebook.

Penduduk kampung dan ibu bapa yang berada di lokasi kejadian segera memberi bantuan kepada mangsa dengan menaikkan murid yang terjatuh masuk ke dalam bot.

Setakat jam 5 petang hari ini, pihak polis belum memberi sebarang kenyataan dan maklum balas berhubung kejadian itu.
 

  • oleh
  • Advertisement