Anda di sini

HPN Medan 2023 pupuk keakraban media serumpun

Advertisement
 


KOTA KINABALU:  Sambutan Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia di Kota Medan, Sumatera Utara pada 9 Februari ini, diharap menjadi wadah memperkasa serta memupuk keakraban wartawan dan media serumpun.

Ia juga diharap menjadi perintis ke arah mengembangkan kerjasama dan persahabatan antara wartawan serantau di negara-negara ASEAN.

Inilah antara harapan kalangan wartawan dan pimpinan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) yang akan berkampung di Kota Medan pada 8 - 12 Februari ini.

Presiden Indonesia, Joko Widodo dijangka merasmikan perhimpunan terbesar lebih 1,000 wartawan se-Indonesia itu.

Presiden ISWAMI Malaysia, Datuk Mokhtar Hussain, berkata sudah menjadi lumrah setiap HPN, Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) pasti mengundang wartawan Malaysia. 

Kali ini, katanya, ISWAMI Malaysia merancang membawa rombongan besar kira-kira 25 hingga 27 orang ke Kota Medan.

"ISWAMI ingin mengambil kesempatan kali ini untuk memaparkan semangat setiakawan yang jitu antara wartawan Malaysia-Indonesia. 

"Kesempatan ini juga diharapkan dapat merintis usaha mengembangkan persahabatan ini meliputi wartawan di negara-negara ASEAN yang lain," katanya.

Mokhtar berkata HPN juga peluang pemimpin redaksi Malaysia merancang masa depan kewartawanan negara menjelang acara Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang disambut pada 29 Mei.

 

(DARI KIRI) MOKHTAR, ASRO, ZAKARIA dan CHAMIL
Dari kiri: Moktar, Zakaria, Asro, Chamil

Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan, pula berharap HPN di Medan ini dapat semakin mempererat hubungan Indonesia-Malaysia, yang selama ini telah berjalan dengan sangat baik. 

Katanya, ISWAMI telah mengambil peranan besar bagi kesefaham dua negara melalui informasi. 

"Sahabat-sahabat dari Malaysia akan hadir pada HPN di Medan. Ini tentu sangat positif. Wartawan kedua negara harus lebih banyak melihat persamaan kedua negara serumpun dan memperkecil perbedaan," katanya.

Asro turut menceritakan mengenai sejarah panjang kewartawan di Indonesia dan sambutan HPN yang dilaksana pada 9 Februari setiap tahun.

Katanya, tanggal 9 Februari adalah kelahiran Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) pada tahun 1946 di Solo. 

Menurutnya, PWI organisasi perkumpulan wartawan yang menentang kembalinya kolonialisme Belanda, setelah Indonesia menyatakan merdeka pada 17 Ogos 1945.

"Wartawan melalui berita dan gerakan, mempertahankan kedaulatan Indonesia," tegasnya.

Asro berkata HPN di Medan, Provinsi Sumatera Utara, ini mengingatkan kembali jalan sejarah pers perjuangan Indonesia. 

Katanya, surat kkabar pertama yang memekikkan kemerdekaan pada masa penjajahan Belanda, adalah surat khabar terbitan Medan, bernama Benih Merdeka, yang terbit pada 17 Januari 1916, sebelum Kongres Pemuda yang melahirkan Sumpah Pemuda 28 Oktober 1928 di Batavia (Jakarta).

Beliau berkata motto surat khabar ini sangat berani, “Benih Merdeka: Orgaan oentoek menoentoet keadilan dan kemerdekaan (Organ untuk Menuntut Keadilan dan Kemerdekaan).”

Selain itu, katanya, Sumatera Utara juga dikenal sebagai pelopor pers di Indonesia. 

Pada tempoh tahun 1880 hingga 1942, Sumut memiliki penerbitan pers terbanyak di Indonesia, iaitu 147 terbitan surat khabar. 

Sumatera Utara memiliki tiga koran dan majalah perjuangan pada masa pendudukan Sekutu atau Belanda (1945-1949). Soeloeh Merdeka, Mimbar Oemoem. Harian Waspada dan  Mimbar Umum masih terbit hingga kini. 

Menurut Asro, Sumatera Utara merupakan “ibu” dari lahirnya wartawan pejuang, antaranya Hamka, Adinegoro, Parada Harahap, Adam Malik, BM Diah dan Mochtar Lubis.  

Parada Harahap disebut sebagai “Raja Delik Pers.” Ini kerana media yang didirikannya masa penjajahan Belanda, sebanyak dua belas kali diajukan ke mahkamah Belanda. Parada berulang kali keluar masuk penjara.

"Dari sejarah pers Medan (Sumatara Utara), diharapkan wartawan Indonesia dapat mewariskan semangat para pejuang tersebut, memperkuat kemerdekaan pers dan indepedensi pers  sebagai pilar demokrasi. 

"Tidak ada demokrasi tanpa kemerdekaan pers. Di sisi lain, pers dan media harus meningkatkan kulitas pemberitaannya," katanya. 

 

Atas alasan tersebut, maka akan dilaksanakan seminar pada 7 Februari 2023 yang berjudul “Seruan dari Medan: Pers Bermartabat, Demokrasi Berdaulat” dan Asro diminta menjadi salah seorang pembicaranya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Chamil Wariya, pula mengimbas hubungan baik antara pemimpin media Malaysia dan Indonesia yang berjaya dicipta hari ini, yang dicapai bukan dalam sekelip mata. 

Menurutnya, para pemimpin ISWAMI, bermula dengan Johan Jaafar membawalah kepada peneraju sedia ada, iaitu Datuk Mokhtar Hussain, mantan ketua pengarang agensi berita nasional BERNAMA telah memainkan peranan masing-masing untuk membina jambatan yang kukuh dengan rakan-rakan wartawan di Indonesia. 

Katanya, salah satu jambatan itu ialah HPN Indonesia yang diadakan setiap tahun pada 9 Februari.

"Boleh dikatakan sejak tahun 2008, pimpinan ISWAMI telah diundang dan tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan HPN yang diadakan di bandar-bandar utama di wilayah pilihan di negara tersebut," katanya.

Menurutnya, HPN telah membawa ISWAMI ke Lombok, Padang, Makassar, Bengkulu, Jakarta dan beberapa bandar lain di Indonesia. 

"Di HPN inilah para wartawan Malaysia membina rangkaian hubungan dengan tidak kurang seribu orang wartawan Indonesia yang hadir setiap tahun," katanya.

Katanya, sebagai menyokong usaha ISWAMI membina hubungan baik dengan rakan-rakan wartawan Indonesia, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, bermula dengan Tan Sri Rais Yatim, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak telah  turut serta dalam rombongan ISWAMI ke HPN setiap tahun.

Selain menghadiri HPN setiap tahun, pimpinan ISWAMI juga memberi ruang kepada para menteri Malaysia yang berkunjung ke Jakarta untuk mengadakan pertemuan atau dialog dengan kelompok wartawan di Jakarta. 

"Kesempatan ini membolehkan segala dasar-dasar Malaysia terutama berkait isu-isu yang membabitkan kedua-dua buah negara difahami dengan lebih jelas oleh pengamal media di Indonesia untuk membolehkan mereka memberi liputan yang seimbang mengenai negara kita.

"Sesungguhnya dalam menjalin hubungan baik dengan pengamal media di Indonesia, kehadiran ISWAMI telah menjadi jambatan yang berguna untuk membetulkan apa-apa juga salah faham yang timbul berkait isu-isu tertentu (seperti soal tenaga kerja Indonesia (TKI), batik, kuda kepang, rendang dan sebagainya) yang membabitkan kedua-dua buah negara serumpun itu," katanya.

Penasihat ISWAMI Malaysia, Datuk Zakaria Abdul Wahab, juga mengharapkan penyertaan pada HPN Medan kali ini akan membuka pula hubungan media Malaysia dengan media Indonesia yang berpangkalan di Medan. 

Selama ini, katanya, ISWAMI begitu rapat dengan PemRed dan organisasi media di Jakarta sahaja. 

"Dengan ke Medan, Iswami akan berpeluang menjalin hubungan baru dengan PemRed di sekitar Sumatera. ISWAMI sedar isu-isu yang ada di Sumatera khususnya Medan berbeza dengan yang berlaku di Jakarta. 

"Isu di Sumatera bersifat wilayah dan mungkin ada berkaitan dengan isu di Semenanjung Malaysia seperti tenaga kerja, PATI, isu jerebu yang bermusim, masalah pencerobohan nelayan di kedua-dua belah sempadan laut Selat Melaka dan pelbagai lagi isu lain. 

"Dengan adanya hubungan dengan media di Medan, kerjasama dalam pertukaran maklumat yang tepat, sahih dan bersumber mengenai apa-apa isu dapat dilakukan dengan segera dan telus," katanya.

Zakaria juga berkata hubungan adat dan resam budaya juga diharap dapat ditingkatkan lagi kerana masyarakat Melayu Sumatera dan masyarakat Melayu di negeri-negeri pantai barat Semenanjung mempunyai banyak persamaan daripada segi adat resam, pakaian, budaya dan masakan mereka.

Justeru, katanya, ISWAMI berharap hubungan media Malaysia dengan media Indonesia ini akan lebih menyeluruh dengan menyertai HPN Medan pada tahun ini.
 

Advertisement