Anda di sini

Gagasan Rakyat usaha kukuhkan keyakinan rakyat: Shahril

Advertisement
MOHD SHAHRIL OSIN
MOHD SHAHRIL OSIN



KOTA KINABALU: Pelancaran parti baharu iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor diyakini akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri.


Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) berkata, usaha itu juga diyakini dapat memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap Ketua Menteri (Hajiji) dan pada masa sama memberi keyakinan kepada pelabur luar terhadap kerajaan pimpinan Hajiji.


"Pelancaran parti baharu ini sudah tentu dinanti-nantikan oleh rakyat kerana ingin melihat para pemimpin meneruskan agenda perjuangan bagi membela nasib rakyat di Sabah.


"Walaupun belum dilancarkan namun yang pasti rakyat telahpun dapat melihat hasil perjuangan Ketua Menteri sehingga kita sebagai rakyat dapat menikmati hasil yang lebih banyak.


"Dalam kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji telah membuktikan kepada semua sehingga berupaya meningkatkan hasil kerajaan negeri yang tertinggi dalam sejarah Sabah, justeru dengan adanya parti baharu sudah tentu Sabah akan lebih makmur sejahtera dan rakyat akan mendapat manfaatnya, " katanya.


Dalam pada itu, Mohd Shahril turut memberitahu, sejurus pelancaran parti baharu Hajiji sudah tentu akan melaksanakan beberapa perancangan susulan yang tertumpu terhadap teras-teras dalam Sabah Maju Jaya (SMJ), demi kepentingan rakyat.


Justeru Mohd Shahril berharap semua pihak terutama pemimpin politik dapat meletakkan fokus untuk melangkah ke hadapan demi rakyat dan bukannya asyik berpolitik (menjatuhkan atau merebut kuasa) kerana rakyat menginginkan kemajuan untuk terus membangun.


Hajiji pada Ahad memberi bayangan untuk melancarkan sebuah parti baharu iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah yang diketuainya bagi meneruskan perjuangan sebagai sebuah parti tempatan yang bernaung di bawah GRS.


Hajiji yang juga Pengerusi GRS menjelaskan, gabungan berkenaan menerima keahlian Gagasan Rakyat pada 9 Disember 2022 seterusnya mengekalkan keahlian sebanyak lima parti di bawah gabungan berkenaan.


Dengan adanya Parti Gagasan Rakyat, beliau yakin tidak lagi timbul bermacam-macam isu terutama yang mempertikaikan kedudukannya sebagai Ketua Menteri.


Selain Gagasan Rakyat, empat parti lain yang bernaung di bawah GRS adalah Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

  • oleh
  • Advertisement