Anda di sini

Amalan meminggirkan Sabah dan Sarawak tidak seharusnya berulang

Advertisement
MASIUNG
MASIUNG

KOTA KINABALU: Amalan kerajaan persekutuan sebelum ini yang lebih cenderung meminggirkan Sabah serta Sarawak dalam pengagihan peruntukan tidak seharusnya berulang lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah berkata, amalan seumpamanya yang dilakukan menerusi pemberian Bajet tahunan kepada Wilayah Borneo harus dihentikan setelah kini wujudnya kerajaan perpaduan.
 
Menurutnya, wujud kebenaran kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak terpinggir daripada pemberian Bajet kerajaan persekutuan sebelum ini. 

Masiung berkata, eksploitasi terhadap Sabah dan Sarawak adalah kurang wajar berbanding jumlah sumbangan kerajaan bagi kedua Wilayah itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

"Sebelum ini, jumlah Bajet yang dibentangkan untuk Sabah dan Sarawak cuma sekadar petunjuk di atas kertas sahaja.

"Hakikatnya, Putrajaya hanya menyalurkan peruntukan pada akhir tahun, menyebabkan Bajet tidak sempat dibelanjakan dan terpaksa dibawa ke hadapan untuk dikitar semula pada tahun berikutnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau memberikan contoh pada 2021, Sabah diperuntukan RM5.1 bilion, tetapi Sabah hanya sempat membelanjakan 38 peratus dan sebahagian besar RM5 bilion dikitar semula pada tahun berikutnya.

Katanya, Bajet 2023 Sabah diperuntukan RM6.3 bilion yang dikitar semula daripada peruntukan tidak terpakai tahun 2022.

"Biasanya Bajet persekutuan disalurkan pada hujung September dan Oktober. Tidak mungkin jabatan dan kementerian di Sabah dapat menyediakan dokumentasi tender dalam masa singkat.

"Saya berharap kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri yang baharu sekarang mengambil perhatian serius berhubung perkara ini, setelah menyedari Wilayah Sabah dan Sarawak telah lama dipinggirkan," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement