Anda di sini

Sayap Pelajar GRS, platfrom suara anak muda Sabah

Advertisement
 Hajiji (empat kanan) menerima resolusi daripada Datu Hishamuddin (kima kanan) sempena majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS.
RESOLUSI: Hajiji (empat kanan) menerima resolusi daripada Datu Hishamuddin (kima kanan) sempena majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS.

KOTA KINABALU: Penubuhan Sayap Pelajar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu menjadi platform kepada kerajaan dalam mengambil maklum kemahuan yang disuarakan anak-anak muda khususnya di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, golongan mahasiswa serta mereka yang berumur 18 tahun ke atas perlu mempunyai pengetahuan mengenai keadaan dan perjuangan politik negara termasuk di Sabah.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar lebih ramai mahasiswa Sabah di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau swasta seluruh negara dilibatkan dalam program yang dilaksanakan oleh Sayap Pelajar GRS.

“Menerusi penglibatan mereka dalam program seperti ini, kerajaan akan lebih maklum segala kemahuan atau permintaan yang disuarakan oleh anak-anak muda,” katanya selepas merasmikan majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS di sini hari ini.

Beliau berkata, selain konvensyen berkenaan, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai platform kepada pelajar untuk berkongsi aspirasi dan juga menyuarakan hak mereka.

“Antaranya ialah penganjuran Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) dan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA). Semua ini memperlihatkan pengiktirafan kerajaan kepada anak muda terutamanya pelajar.

“Sebagai Ketua Menteri, saya akan meneliti dan mengambil perhatian serius terhadap setiap usul yang dicadangkan demi kepentingan bersama termasuk menerusi konvensyen ini,” katanya.

Dalam pada itu jelasnya, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM16.42 juta dalam Belanjawan 2023 untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia yang meliputi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial. 

Menurutnya, usaha itu adalah bagi melahirkan pemimpin belia yang berkualiti tinggi dan berharap anak muda di Sabah akan mengambil peluang segala inisiatif yang disediakan kerajaan.

Katanya, golongan belia adalah aset kerajaan yang perlu diberi peluang dalam pembangunan ekonomi negeri.

Justeru, Hajiji mengajak para mahasiswa untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha membawa negeri Sabah lebih maju dan makmur serta menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Turut hadir, Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili; Presiden USNO Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Timbalan Presiden STAR Datuk Ellron Alfred Angin; Setiausaha Agung GRS Datuk Masidi Manjun; dan Pengerusi Penaja Sayap Pelajar GRS Datu Hishamuddin Datu Hasim.
 

  • oleh
  • Advertisement