Anda di sini

Projek tiang bendara tertinggi dibiayai swasta: Pejabat Premier Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Pejabat Premier Sarawak pada Sabtu memaklumkan projek pembinaan tiang bendera tertinggi akan dibiayai oleh sektor swasta.

"Pejabat ini (Pejabat Premier Sarawak) ingin menjelaskan, projek ini dibiayai sektor swasta sebagai sumbangan CSR (tanggungjawab korporat sosial), sempena ulang tahun ke-60 Sarawak sebagai sebahagian daripada penubuhan Malaysia.

"Projek ini, seharusnya merangkumi pembinaan tapak yang telah ditetapkan serta kawasan sekitarnya. Ia tiada kaitan dengan isu MA63 (Perjanjian Malaysia 1963)," jelasnya menerusi satu kenyataan.

Ia menambah, projek itu akan menjadi salah satu infrastruktur pelancongan di Kuching serta untuk menunjukkan kesetiaan kepada Sarawak.

"Diharap, ia akan menjadi aspirasi kepada semua rakyat Sarawak untuk berkhidmat kepada Sarawak," tambahnya.

Pada Jumaat sumber memaklumkan The Borneo Post tiang bendera yang dicadangkan itu setinggi 99 meter, empat meter lebih tinggi berbanding tiang bendera tertinggi negara yang terletak di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.

Projek itu dijangka bernilai kira-kira RM30 juta.

"Tiang bendera itu akan dibina dekat dengan The Tea House atau Kubu Margherita di sini (dalam kawasan Kompleks Dewan Undangan Negeri)," demikian menurut sumber itu.
 

  • oleh
  • Advertisement