Anda di sini

Projek jalan raya Kalabakan-Simanggaris Indonesia perlu diteruskan

Advertisement
 Nizam bergambar bersama semua peserta pertandingan tersebut.
PERTANDINGAN: Nizam bergambar bersama semua peserta pertandingan tersebut.

TAWAU: Cadangan projek jalan raya daripada Serudong Kalabakan ke Simanggaris Indonesia perlu diteruskan bagi memudahkan jaringan kerjasama khususnya sektor ekonomi kedua-dua negara.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, projek itu sudah lama dicadangkan sebaik sahaja Indonesia mengumumkan ibu kotanya akan berpindah ke Kalimantan.

“Saya cukup yakin kerajaan persekutuan dan negeri akan memberi keutamaan dalam pembinaan projek jalan perhubungan ini.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi membina prasarana kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian dalam program promosi budaya, produk  Indonesia dan pertandingan Golf sempena Ulang Tahun Imigrasi Indonesia, di sini hari ini.

Menurutnya, program yang dianjurkan ini sememangnya dapat mengeratkan hubungan antara warga Konsulat Republik Indonesia (KRI) dengan rakyat di negara ini khususnya di Sabah.

“Saya melihat program seumpama ini cukup penting untuk merapatkan lagi hubungan kedua-dua negara yang memang sudah lama wujud.

“Saya juga berharap hubungan erat ini samada dari segi ekonomi, sosial dan budaya akan ditingkatkan kerana ia memberikan manfaat terhadap rakyat di kedua-dua negara,” katanya.

 Nizam (tiga kanan), Heni (tiga kiri) semasa merasmikan pameran budaya dan produk Indonesia.
RASMI: Nizam (tiga kanan), Heni (tiga kiri) semasa merasmikan pameran budaya dan produk Indonesia.

Sementara itu, Ketua Perwakilan KRI Tawau Heni Hamidah berkata, negeri Sabah sangat rapat dan penting sehingga Indonesia menempatkan dua pejabat keduataannya di wilayah ini.

Katanya, perkara itu sudah tentu kerana jumlah  warga Indonesia yang direkodkan tinggal dan berada di Sabah ketika ini sudah mencecah seramai 172,167 orang.

“Selain itu, perbatasan Indonesia dan Sabah yang sangat hampir membuatkan banyak peluang-peluang ekonomi dapat diwujudkan.

“Saya berharap KRI Tawau dapat membuka peluang kerjasama bukan sahaja soal perlindungan warga Indonesia, tetapi dalam bidang ekonomi, sosial, budaya dan pelancongan,” katanya.

Heni berkata, pihaknya bersyukur kerana program ini mendapat sambutan daripada semua pihak terutamanya pemimpin, jabatan kerajaan dan syarikat swasta.

“Seramai 60 peserta yang mengikuti pertandingan tersebut dan saya berharap program seperti ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang.

  • oleh
  • Advertisement