Anda di sini

GRS terus perjuangkan pelaksanaan hak, kepentingan Sabah

Advertisement
 Hajiji (tengah) bersama Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dan pemimpin SAPP yang lain menyempurnakan acara memotong kek.
RASMI: Hajiji (tengah) bersama Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dan pemimpin SAPP yang lain menyempurnakan acara memotong kek.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus perjuangkan, bukan sekadar pelaksanaan keseluruhan hak dan kepentingan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, malah yang hadir dan terjamin bersama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ia penting kerana perlu membina pemahaman dan membentuk penerimaan para penggubal dan pelaksana dasar di peringkat Persekutuan mengenai MA63.

Justeru itu katanya, semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuching Sarawak pada 20 Januari lalu, beliau bertegas membawa beberapa isu untuk dibincang.

"Isu seperti rundingan susulan berkaitan formula dan semakan Pemberian Khas serta tuntutan 40 peratus di bawah Perkara 112.D dapat disegerakan.

"Selain itu, hak negeri atas pelantar benua dan Akta Laut Wilayah 2012 yang kerajaan negeri tetap dengan pendirian untuk menolak, yang membatas sempadan Sabah kepada 3 batu Nautika," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Parti Maju Sabah (SAPP) Ke-29 di sini hari ini.

Katanya, pelaksanaan agenda Sayangi Sabah akan terus diperkukuhkan melalui empat teras perjuangan GRS yang meliputi Sabah Diutamakan, Sabah Melangkah ke Hadapan, Sabah Maju Jaya, dan Sabah yang Bersatu.

Menurutnya, beberapa kejayaan sudah dicapai termasuk yang terbaharu ialah penyerahan kuasa kawal selia gas oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri.

"Ini termasuk penyerahkan kuasa meluluskan projek-projek bernilai bawah RM50 juta peruntukan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak, manakala banyak lagi hak-hak Sabah yang sedang kita perjuangkan ketika ini," tambahnya.

Hajiji yakin, pendekatan baharu Malaysia Madani sebagai kerangka dasar bagi memartabatkan semula negara sebagai negara makmur berupaya menangani isu-isu legasi yang melingkari hubungan negeri dan Persekutuan.

"Kita yakin dan percaya, sebagai salah satu komponen penting negara, matlamat membina Sabah yang lebih maju dan berjaya perlu diangkat sebagai salah satu agenda nasional demi menjamin kemakmuran dan kelestarian Persekutuan Malaysia.

"Saya berasa gembira apabila dalam beberapa pertemuan dengan Perdana Menteri, beliau memberi jaminan untuk meneliti semua isu-isu ini untuk mencari penyelesaian segera," katanya.

  • oleh
  • Advertisement