Anda di sini

Ewon komited untuk memperkasakan sambutan kebudayaan rakyat di Penampang

Advertisement
 Ewon (kiri) menyampaikan Ang Pau kepada seorang penerima pada majlis berkenaan.
PRIHATIN: Ewon (kiri) menyampaikan Ang Pau kepada seorang penerima pada majlis berkenaan.


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick komited untuk memperkasakan sambutan-sambutan kebudayaan rakyat di daerah ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, ia tidak terhad kepada Pesta Kaamatan tetapi juga Pesta Ang Pau serta perayaan kebudayaan lain di sini.

"Ini penting agar masyarakat terutamanya golongan muda dan kanak-kanak dapat mempelajari kebudayaan kaum-kaum lain di Sabah agar dapat memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan saling hormat-menghormati.

“Sebagai Wakil Rakyat Parlimen Penampang, saya akan memastikan peruntukan disediakan setiap tahun agar sambutan Pesta Angpau sempena Tahun Baru Cina dapat diadakan.

"Saya juga mahu semua kepimpinan politik di sini untuk turut bersama-sama meraikan perayaan kebudayaan seperti Pesta Ang Pau," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Ang Pau Penampang 2023, di Taman Suria, di sini, semalam.

Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut menggesa rakyat Sabah untuk mempertahankan identiti kemajmukan kaum, budaya, bahasa dan agama tetapi sentiasa saling hormat-menghormati dan bersatu padu.

“Kalau ada estremis kaum dan agama yang cuba memainkan sentimen perkauman atau sentimen keagamaan di negara ini, maka kita sebagai rakyat Sabah perlu mempertahankan identiti kita selama ini dan harus terus menjadi teladan kemajmukan kaum, bahasa dan agama yang sentiasa bersatu padu, harmoni dan saling hormat-menghormati,” katanya.

Turut sama dalam sambutan Pesta Angpau Penampang tersebut ialah Pembantu Menter Kewangan Sabah Tan Lee Fatt, ADUN Kepayan Jannie Lasimbang, mantan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Bernard Dompok, Ahli Dewan Negara Datuk John Ambrose, Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Joseph Alex Chang dan pemimpin-pemimpin masyarakat Penampang.

Advertisement