Anda di sini

Armizan serah kepada keputusan mahkamah

Advertisement
ARMIZAN
ARMIZAN

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali menyerahkan kepada keputusan mahkamah berhubung kedudukannya sebagai Ahli Parlimen bersama tiga lagi Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) ini berkata, tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) merujuk keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul kepada mahkamah juga sebagai hak parti berkenaan.

"Itu hak mereka, walaupun keputusan sudah dibuat sebab di dalam Perlembagaan Persekutuan jelas bahawa hak dan keputusan itu kepada Speaker.

"Sekiranya pihak-pihak yang berkenaan masih tidak puas hati maka, itu hak mereka untuk mengajukan perkara itu kepada platform yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui media pada majlis perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS di sini hari ini.

Armizan berkata, setakat ini beliau dan Ahli Parlimen GRS yang lain masih belum menerima sebarang notis daripada mahkamah mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan keahlian mereka yang masih kekal sebagai ahli GRS dan ahli langsung gabungan berkenaan.

"Kita tidak akan sertai parti baharu Gagasan Rakyat kerana undang-undang tidak membenarkan.

"Jadi kita akan 'remain' (kekal) sebagai ahli melalui keahlian langsung (GRS) sebagaimana sebelum pilihan raya, kita telah pun menjadi ahli secara langsung kepada GRS," jelasnya.

Sebelum ini, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan untuk merujuk ke mahkamah  keputusan Speaker Dewan Rakyat untuk tidak mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah yang dimenangi bekas ahli BERSATU atas tiket GRS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lepas.

Beliau mendakwa keputusan oleh Yang Dipertua Rakyat itu dibuat berdasarkan tafsiran Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU.

Namun katanya, Johari bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk mentafsir perlembagaan parti, justeru terkhilaf dalam membuat tafsiran serta keputusan.
 

  • oleh
  • Advertisement