Anda di sini

Alumni diminta turun padang bantu kecemerlangan sekolah

Advertisement
 Nizam menerima cenderahati daripada Hamisa sempena majlis Tautan Kasih Tautan Kasih GPS/SK Pekan Tawau.
CEMERLANG: Nizam menerima cenderahati daripada Hamisa sempena majlis Tautan Kasih Tautan Kasih GPS/SK Pekan Tawau.



TAWAU: Bekas pelajar atau alumni diminta kembali semula ke sekolah mereka bagi membantu generasi muda hari ini mencapai kecemerlangan dalam pendidikan khususnya dalam menghadapi cabaran masa depan.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peranan ahli alumni sangat penting dalam memupuk kesedaran kepada generasi pelajar mengenai kepentingan memanfaatkan zaman persekolahan mereka.


Menurut beliau, persatuan bekas pelajar tersebut juga perlu lebih aktif menggerakkan pelbagai aktiviti bersama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak pengurusan sekolah.


"Alumni sesebuah sekolah perlu lebih aktif melaksanakan program di sekolah asal mereka termasuk menceritakan mengenai pengalaman semasa bersekolah, melanjutkan pelajaran dan bekerja kepada generasi muda.


"Semua itu sangat penting untuk dijadikan panduan dan pedoman termasuk memupuk kesedaran yang tidak mungkin dapat diperolehi semasa sesi pengajaran dan pembelajaran mereka.


"Peranan alumni ini bukan sahaja penting bagi menambah baik kekurangan fizikal sekolah tetapi juga memberikan pendedahan mengenai dunia pekerjaan dan persediaan-persediaan yang perlu ada pada diri generasi muda hari ini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Tautan Kasih GPS/SK Pekan Tawau disini kelmarin.


Nizam berkata, beliau yakin pembabitan alumni dalam menyokong dan memberi sumbangan secara sukarela kepada sekolah mampu melonjakkan lagi prestasi dan kecemerlangan akademik pelajar.


"Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan tahniah kepada gabungan kepimpinan sekolah dan PIBG atas pelbagai usaha dalam membuat transformasi kepada sekolah, dengan harapan semoga hubungan seumpama ini berkekalan.


Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, selain meningkatkan motivasi pelajar, keterlibatan alumni di sekolah asal mereka juga dapat membentuk budaya masyarakat penyayang tanpa mengira status dan kedudukan seseorang.


"Aktiviti alumni akhirnya tidak sekadar menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli tetapi menyumbang kepada pembangunan sahsiah diri dan kecemerlangan generasi muda hari ini," ujar beliau.

Sementara itu Pengerusi Penganjur, Datuk Hamisa Samat yang juga merupakan bekas guru SRK Pekan Tawau berkata, peranan alumni tidak terhad kepada hal ehwal kebajikan sahaja tetapi lebih penting mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan sahsiah dan modal insan pelajar, sekolah, institusi dan masyarakat.


Tambah beliau, penglibatan alumni sesebuah institusi yang mempunyai keunikan dan pengalaman berbeza amat penting dalam menyokong serta memberi sumbangan secara sukarela bagi mengekalkan dan memperkembangkan pembangunan pelajar.


Kira-kira 270 bekas murid dan guru-guru daripada Alumni GPS dan SRK Pekan Tawau empat Dekad 50an, 60an, 70an dan 80an menyertai majlis tersebut.


SK Bandar Tawau ataupun SRK Pekan Tawau merupakan sekolah Melayu pertama dibina di Tawau pada tahun 1925.

 
Pembinaan sekolah ini adalah atas bantuan penuh kerajaan Chartered Company dan pada masa itu sekolah ini dikenali sebagai 'Government Vernacular School Tawau'.

  • oleh
  • Advertisement