
NABAWAN: Sebanyak 10 buah kampung di daerah kecil Sook telah dipilih sebagai perintis bagi Projek Kongsi Rezeki: Program Peningkatan Ekonomi Komuniti dengan kerjasama Koperasi Tanjung Keramat Bhd.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata, melalui kerjasama itu, kampung-kampung yang terlibat dalam Projek Kongsi Rezeki akan mendapat bimbingan daripada pihak koperasi, berkenaan tanaman jagung.
Antara kampung-kampung yang terlibat adalah Kg Sinulihan; Kg Baru Jumpa, Kg Pengiradan; Kg Simpang Empat; Kg Kiulu Baru dan Kg Tiong.
Jelas Arthur, melalui kerjasama itu, peserta akan diberi taklimat dan kursus tentang cara-cara menanam jagung untuk mendapat hasil yang terbaik serta bimbingan bagi membantu memasarkan hasil tanaman mereka.
Menerusi program itu, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan turut menyerahkan sumbangan bibit jagung dan mesin rumput kepada setiap kampung yang terlibat dalam usaha untuk membantu para penduduk memulakan tanaman ini.
“Kita mempunyai perancangan jangka masa panjang lagi iaitu untuk bantu mewujudkan koperasi di setiap kampung untuk mengurus projek tanaman ini dengan teratur untuk kebaikan dan kemajuan projek ini untuk dinikmati oleh setiap ahli di kampung-kampung yang terlibat,” katanya.
Melalui program katanya, setiap petani yang terlibat disasar akan memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM1,000 seekar bagi setiap kali tuaian mengikut kepada saiz serta kualiti tanaman.
Jelasnya, setiap tuaian boleh dibuat setiap 90 hingga 100 hari.
"Projek Kongsi Rezeki: Program Peningkatan Ekonomi Komuniti ini merupakan contoh terbaik bagaimana kerjasama antara Ahli Parlimen dan pihak swasta dapat meningkatkan ekonomi rakyat luar bandar iaitu membangunkan pertanian dan membantu memasarkan hasil dan produk tanaman.
"Bersempena pelancaran projek ini, jualan barangan keperluan asas seperti gula, garam, beras, tepung, makanan dalam tin dan banyak lagi yang turut diadakan dengan harga jualan yang berpatutan.
"Ini berfungsi sebagai kedai runcit bergerak untuk memudahkan penduduk kawasan luar bandar membeli barangan asas tanpa perlu mengeluarkan kos untuk keluar ke pekan bagi tujuan tersebut.
"Inilah usaha yang berterusan untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan membantu mengurangkan kos sara hidup, " katanya.
Dalam pada itu, Arthur turut menegaskan komitmennya sebagai Ahli Parlimen agar inisiatif tersebut dilaksanakan secara berterusan ke kawasan yang lain bagi membantu meningkatkan ekonomi petani dan penduduk luar bandar, selari dengan pendiriannya untuk 'Bersama Kita Hebatkan Pensiangan'.