Anda di sini

SABA sokong Sarawak jadi tuan rumah SUKMA 2024 

Advertisement
 

KUCHING: Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Dato Rahman Lariwoo (gambar) menyokong usaha Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah untuk membawa penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke Sarawak pada tahun 2024.

Menurutnya, Sarawak layak untuk sekali lagi menjadi tuan rumah kerana memiliki fasiliti sukan yang lengkap serta diiktiraf bertaraf antarabangsa.

Selain itu katanya, kemudahan lain seperti hotel, pengangkutan dan tempat makan juga banyak dan cukup untuk menampung keperluan kontinjen dari negeri lain yang bertandang ke Sarawak.

"Bagi pihak persatuan sukan, kita berasa bangga atas usaha Dato Sri Abdul Karim untuk membawa penganjuran SUKMA ke Sarawak pada tahun 2024. 

"Sudah tentu pihak SABA sangat menyokong usaha ini kerana kita yakin Sarawak mampu menjadi tuan rumah temasya berprestij negara itu.

"Saya percaya kerajaan negeri pasti menyokong penganjuran SUKMA di sini kerana ia seiring dengan visi Sarawak untuk menjadi kuasa sukan di Malaysia," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Tambah Rahman, jika Sarawak menjadi tuan rumah, ia pastinya peluang terbaik untuk merampas semula gelaran juara keseluruhan yang kali terakhir dimenangi 30 tahun lalu iaitu pada 1994 di Perak.

Dalam hal ini katanya, SABA serta persatuan sukan lain bertekad akan memberikan yang terbaik untuk memastikan atlet Sarawak merangkul emas sekaligus merealisasikan impian kembali bergelar jaguh SUKMA.

Terdahulu, Abdul Karim dalam satu majlis di sini baru-baru ini mendedahkan Sarawak sedia menjadi tuan rumah SUKMA 2024 sekiranya tiada negeri yang mahu menjadi tuan rumah.

Beliau berkata demikian selepas mendapat tahu Johor yang sepatutnya menjadi tuan rumah menolak tawaran untuk menganjurkan temasya dwitahunan bagi edisi 2024. 

Perkara itu katanya telah dibincangkan semasa mesyuarat Exco Belia dan Sukan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Kali terakhir Sarawak menjadi tuan rumah SUKMA pada 2016 di mana kontinjen Bumi Kenyalang menduduki tempat kedua secara keseluruhan di belakang Selangor dengan perbezaan dua pingat emas.
 

  • oleh
  • Advertisement