Anda di sini

Aguero hentam Ibrahimovic bidas kejayaan Argentina dalam Piala Dunia

Advertisement
 

BARCELONA: Sergio Aguero telah membalas komen Zlatan Ibrahimovic yang mengutuk sambutan Piala Dunia Argentina ‘tidak sopan’ dan mereka tidak akan menang lagi.

Bekas pemain penyerang Argentina berusia 34 tahun itu terkenal dengan sambutan luar biasanya susulan kemenangan dramatik penalti pasukannya menentang Perancis.

Namun, pemain veteran AC Milan, Ibrahimovic, merasakan bahawa cara sambuatan Argentina melampau, dan mereka tidak akan memenangi satu lagi gelaran global.

Aguera menghentam habis-habisan bekas pemain antarabangsa Sweden itu selepas dia membidas kejayaan pasukan negaranya dalam Piala Dunia.   

“Patutkah saya bersuara atau tidak? Zlatan. Ibrahimovic. Ibra-himovic. Ia nama yang agak sukar, lebih baik untuk menyebut Zlatan,” Aguero bermula.

“Zlatan, mungkin lebih mudah untuk menyimpulkan bahawa kamu lebih suka jika Perancis menang. Jika mereka berkelakuan buruk, kamu akan menyifatkannya sebagai perlakuan profesional peringkat tinggi.

“Kamu bermain, saya juga bermain pada tahap yang tinggi. Tetapi mari kita kenang kembali bahawa kamu juga berkelakuan buruk semasa bermain. Saya percaya, bukan? 

“Pepatah di Argentina menyatakan: jangan meludah ke atas jika kamu akan jatuh. Mari kita ingat di padang, semasa kamu bertingkah laku buruk. 

“Beberapa contoh, saya ingat semasa di Galaxy kamu memukul seseorang dan kemudian, saya ingat kamu berpura-pura bahawa dia menyakiti dan memijak kamu. Adakah semasa itu kamu berkelakuan baik atau berkelakuan buruk? Mari kita fikirkan.”

“Saya masih ingat semasa kami bermain menentang United, di Manchester City. Saya berada di bangku. Kamu bermain-main, kamu menjawab.

“Untuk bercakap bahawa mereka berkelakuan buruk, bagi saya kamu ialah orang yang paling tidak sesuai untuk bercakap. Nampaknya kamu salah kali ini. Namun akhirnya itu pendapat kamu, bukan?

“Bagi saya ia sangat biadap untuk mengatakan bahawa kami tidak akan menang lagi. Saya fikir sebelum kamu bimbang tentang Argentina, kamu boleh bimbang tentang negara sendiri, tentang pemain kamu, yang tidak masuk dalam Piala Dunia lepas.

“Dan Messi menang. Mungkin itu membuat kamu marah, hakikat bahawa Messi telah memenangi Piala Dunia dan kamu sakit hati untuk mengakui bahawa Messi ialah pemain terbaik di dunia, dan ia menyakitkan kamu bahawa dia memenangi Piala Dunia bersama Argentina.

“Apa yang dia katakan tidak adil. Jika dia seorang pemain yang baik, bertingkah laku sangat baik, tidak perlu berdebat.

“Tetapi kamu seorang yang melawan. Saya masih ingat kamu ada bergaduh dengan Otamendi, juga, dalam perlawanan antara City dan United. Kamu berkelahi dengan Pep, Pep Guardiola.

“Pep dahulu mahu menjual kamu dari Barcelona. Saya rasa sebelum kamu bercakap tentang Argentina berkelakuan buruk, kamu perlu melihat kerjaya sendiri terlebih dahulu untuk melihat jika kamu berkelakuan baik, jika kamu berkelakuan sederhana baik. Dan saya rasa kamu tidak berkelakuan baik.”

Penjaring gol terbanyak Manchester City itu menambah: “Adakah saya menghancurkan Zlatan? Dia menghancurkan sahabat saya. Saya ada di sana.

“Argentina ialah juara. Kami menjulang Piala. Dan kamu hanya menonton. Pemain-pemain yang berkelakuan tidak baik mengangkat Piala. Saya minta maaf. Saya minta maaf.’

Hujah panjang bekas pemain penyerang itu disuarakannya sebagai tindak balas kepada kenyataan Ibrahimovic berhubung sambutan ‘tidak sopan’ Argentina selepas memenangi Piala Dunia pada Disember lalu. — AFP 
 

Advertisement