Anda di sini

Ya, saya gagal kendali akaun Najib, kata bekas pegawai bank

Advertisement
Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Gambar Bernama
Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas pengurus perhubungan AmBank mengaku di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau gagal dalam mengendalikan akaun bank Datuk Seri Najib Tun Razak apabila tidak mendapatkan kebenaran bertulis sebelum berurusan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berhubung akaun bank bekas perdana menteri.

Joanna Yu Ging Ping, 52, berkata demikian ketika disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa perbicaraan Najib membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saksi pendakwaan ke-41 itu membuat pengakuan tersebut apabila ditanya sama ada beliau mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk berunding dengan Jho Low berhubung pengurusan akaun Najib, sedangkan Nik Faisal Ariff Kamil, bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB, adalah individu yang diberi kuasa ke atas akaun berkenaan pada masa itu.

Muhammad Shafee: Adakah terdapat sebarang kebenaran bertulis untuk kamu menghubungi Jho Low berhubung akaun Najib?

Yu: Tidak. Tiada apa-apa secara bertulis.

Muhammad Shafee: Adakah itu satu kegagalan di pihak kamu sebagai seorang pegawai bank?

Yu: Ya, itu adalah kegagalan saya.

Semasa prosiding hari ini, Muhammad Shafee juga meminta pegawai bank itu mengemukakan surat pemberhentiannya kepada mahkamah kerana peguam tersebut percaya penamatan tugas pegawai bank itu dikaitkan dengan cara beliau mengendalikan akaun Najib.

Yu berkata tiada surat tunjuk sebab dikeluarkan kepadanya sebelum pemberhentiannya daripada bank dan terdapat banyak sebab di sebalik penamatan tugas itu.

“Saya ingin mendapatkannya (surat penamatan) pada Isnin, jadi tolong jangan kembali dan katakan tidak ada. Saya harap kamu tidak berbuat demikian,” kata peguam itu.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin. - Bernama

Advertisement