Anda di sini

Lelaki warga Yemen didakwa edar dadah jenis kanabis lebih 200kg

Advertisement
 Lelaki warga Yemen, Abdul Aziz Musaed Ahmed, 23, berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis lebih 200 kilogram.
Abdul Aziz diiringi polis di pekarangan mahkamah, hari ini. - Gambar Bernama

SEPANG: Seorang lelaki warga Yemen berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis lebih 200 kilogram (kg).

Tertuduh, Abdul Aziz Musaed Ahmed, 23, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati itu adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengedar dadah disyaki jenis kanabis dengan anggaran berat 231 gram (g), manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengedar dadah jenis yang sama dengan anggaran berat 1.879kg dan pertuduhan ketiga pula dia didakwa telah mengedar dadah disyaki jenis yang sama dengan anggaran berat 219.15kg.

Abdul Aziz yang juga penganggur didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah apartmen di Puchong dekat sini pada kira-kira 10.10 malam pada 15 Jan lepas.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati hendaklah dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan.

Di mahkamah yang sama, Abdul Aziz turut didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 atas kesalahan memasukkan dadah berbahaya jenis amphetamine, methamphetamine dan THC ke dalam diri sendiri.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini, pada kira-kira 9 pagi 16 Jan lepas.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B akta yang sama.

Di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, dia boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, manakala hukuman di bawah Seksyen 38B ADB 1952 pula, hendaklah serta-merta selepas menjalani hukuman yang dikenakan, menjalani perintah pengawasan oleh pegawai polis bagi tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada tiga tahun sebagaimana yang ditetapkan oleh mahkamah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat manakala tertuduh diwakili peguam Zaflee Pakwanteh.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 8 Mei depan untuk penyerahan laporan kimia.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dadah jenis ganja seberat 221.26kg bernilai anggaran RM663,798 yang dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang. - Bernama 

Advertisement