Anda di sini

KUSKOP prihatin kebajikan usahawan kontraktor

Advertisement
 Ewon (kanan) menyempurnakan simbolik perasmian, turut kelihatan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup (tengah) serta tetamu kehormat yang lain.
RASMI: Ewon (kanan) menyempurnakan simbolik perasmian, turut kelihatan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup (tengah) serta tetamu kehormat yang lain.


PENSIANGAN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui TEKUN Nasional telah menaikkan had pembiayaan maksimum Skim Pembiayaan Kontrak-i sehingga RM200 ribu mulai Januari 2023. 

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, peningkatan had maksimum pembiayaan ini dilaksanakan setelah mengambil kira maklum balas serta had nilai perolehan kerja bagi kontraktor G1 adalah bernilai RM200 ribu dan ke bawah. 

Katanya, Skim Pembiayaan Kontrak-i merupakan skim yang menawarkan akses pembiayaan segera kepada usahawan yang mendapat kontrak kerja atau pembekalan yang diperolehi secara terus daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan mencagarkan kontrak kerja tersebut dengan nilai pembiayaan sehingga RM200 ribu.

"Pada tahun 2023, TEKUN telah memperuntukkan RM200 juta dengan sasaran lebih 3,100 usahawan dijangka akan menerima manfaat ini.

"Selain itu, KUSKOP juga telah mengambil inisiatif mewujudkan program groombig yang bertujuan membantu usahawan di bawah agensinya mendapatkan pembiayaan yang lebih besar, latihan dan pembangunan kapasiti serta pembangunan produk usahawan yang disediakan oleh agensi lain di bawah KUSKOP, "katanya ketika merasmikan Pejabat TEKUN cawangan Pensiangan, di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam program groombig, usahawan TEKUN yang berkelayakan dan mempunyai rekod bayaran balik yang baik akan disokong oleh TEKUN untuk mendapatkan pembiayaan melebihi RM100 ribu daripada agensi lain di bawah KUSKOP.

Menurutnya, sehingga kini di bawah Progam Groombig seramai 113 orang usahawan TEKUN telah mendapat pembiayaan daripada PUNB, Bank Rakyat dan SME Bank berjumlah RM17 juta. 

"Di mana daripada jumlah tersebut seramai 23 orang usahawan TEKUN telah mendapat pembiayaan daripada PUNB berjumlah RM5.5 juta, 63 orang mendapat pembiayaan daripada Bank Rakyat berjumlah RM3.03 juta dan 27 orang mendapat pembiayaan daripada SME Bank berjumlah RM8.5 juta.

"TEKUN juga turut memberi pembiayaan kepada 28 orang usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang layak dengan nilai pembiayaan RM926 ribu," katanya. 

Ewon yang juga Ahli Penampang berkata, pihaknya juga membantu usahawan informal dan mikro di Borneo khususnya Sabah dan Sarawak yang berniaga di Pasar Tamu. 

"Saya meminta TEKUN Nasional mempertimbangkan untuk menyediakan skim pembiayaan yang mudah dan khusus kepada usahawan yang berniaga di Pasar Tamu ini.

"Skim ini tidak memerlukan modal yang besar, mungkin memadai dengan nilai maksimum pembiayaan sehingga RM5 ribu.

"Saya berharap dengan adanya skim baru ini nanti dapat membantu usahawan informal dan mikro di Pasar Tamu untuk mendapatkan modal tambahan dengan mudah bagi mengembangkan perniagaan," katanya. 

Dalam pada itu katanya, melalui Bajet 2023 yang dibentangkan pada bulan Oktober 2022, kerajaan telah memperuntukkan RM320 juta kepada TEKUN Nasional bagi membantu usahawan informal dan mikro dalam perniagaan.

Bagaimanapun katanya, peruntukan RM320 juta itu tertakluk kepada kelulusan bajet yang akan dibentangkn sekali lagi di Parlimen pada awal tahun ini. 

Selain daripada itu katanya , KUSKOP juga ada membuat permohonan tambahan melalui 185 inisiatif belanjawan 2023 berjumlah RM666 juta.

"Permohonan ini termasuk program baru yang dikenali sebagai Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) berjumlah RM50 juta dan peruntukan tambahan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) berjumlah RM20 juta," katanya. 

Sementara itu, Ewon menjelaskan Sejak ditubuhkan pada tahun 1998 sehingga Disember 2022, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM8.05 bilion kepada 543,657 usahawan melalui 170 cawangannya di seluruh negara.

Katanya, bilangan ini termasuk pembiayaan kepada 23,017 peniaga dari kalangan masyarakat India yang bernilai RM396.8 juta di bawah program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) yang diperkenalkan pada tahun 2008.

"Pada masa yang sama, selain daripada pembiayaan kepada masyarakat India (SPUMI) sebagaimana dinyatakan tadi, TEKUN juga memberi pembiayaan kepada golongan sasar seperti golongan orang kelainan upaya (OKU), bekas banduan, bekas penagih dadah (AADK) dan juga masyarakat Siam yang mempunyai warganegara. 

"Bagi negeri Sabah, TEKUN Nasional telah menyalurkan RM831.9 juta kepada 58,516 usahawan sejak tahun 1998 sehingga kini. 

"Selain itu, sehingga kini TEKUN telah membuat kutipan bayaran balik sebanyak RM6.1 bilion. Jumlah ini telah dipinjamkan semula sebagai pembiayaan kepada usahawan menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan yang TEKUN keluarkan sebanyak RM8.05 bilion berbanding peruntukan yang disediakan sebanyak RM4 bilion, "katanya lagi. 
 

  • oleh
  • Advertisement