Anda di sini

Aaron Chia-Wooi Yik tumpas di tangan gandingan bukan pilihan

Advertisement
Gambar Twitter BAM
Gambar Twitter BAM

KUALA LUMPUR: Jaguh beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang dilihat beraksi di bawah tahap sebenar, ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan bukan pilihan dari China pada aksi suku akhir kejohanan badminton Masters Indonesia di Jakarta, hari ini.

Pada pertemuan menentang gandingan He Ji Ting-Zhou Hao Dong yang berlangsung di venue ikonik, Istora Senayan, Aaron-Wooi Yik yang merupakan juara dunia 2022 bermula baik apabila mendahului 11-8 pada pertengahan permainan set pertama, namun hilang rentak sehingga dipintas dan kecundang 17-21.

Persembahan longlai pasangan negara yang diletakkan sebagai pilihan keempat terserlah pada set kedua, selepas ketinggalan 4-12 sebelum membenarkan pihak lawan mengutip mata dengan mudah untuk menoktahkan kemenangan 21-10.

Gandingan ranking ke-21 dunia dari China itu, mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dalam tempoh 38 minit untuk bertemu sama ada rakan senegara Liu Ye Chen-Ou Xuan Yi atau gandingan tuan rumah yang juga pilihan pertama Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Ia kekalahan memeritkan buat Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking nombor dua dunia, selepas mereka turut kempunan merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Terbuka India apabila tewas di final, Ahad lepas.

Dalam pada itu, beregu wanita nombor satu negara dan juara Terbuka Perancis 2022, Pearly Tan-M.Thinaah mengubati kekecewaan kem Malaysia apabila menjadi wakil pertama melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan berstatus Super 500 itu.

Pada aksi suku akhir, Pearly-Thinaah yang merupakan pilihan keenam beraksi dengan cemerlang untuk melakar kemenangan bergaya 21-10, 21-12 dalam tempoh 37 minit ke atas pasangan bukan pilihan dari China Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan.

Menanti pasangan ranking keenam dunia itu di pusingan seterusnya ialah antara gandingan India Tanisha Crasto-Ashwini Ponnappa dan wakil Jepun Yuki Fukushima-Sayaka Hirota yang bakal berentap pada satu lagi perlawanan suku akhir. - Bernama 

Advertisement